MOHAMMAD
ROZAIDI ZULKIFLI | 16 Mac 2016 12:20 AM
MAURO OLIVI
menyelamatkan Selangor apabila menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya
menang 4-3 ke atas Sheikh Jamal dalam perlawanan Kumpulan E, Piala AFC di
Dhaka, Bangladesh semalam.
KUALA LUMPUR -
Selangor meraih kemenangan pertamanya dalam kejohanan Piala AFC selepas
menang 4-3 ke atas Sheikh Jamal FC di Stadium Nasional Bangabandhu, Dhaka
semalam sekali gus mengurang tekanan yang dihadapi pengendali The Red Giants,
Zainal Abidin Hassan.
Bagaimanapun
jumlah dibolosi tiga gol oleh wakil Bangladesh itu, pasukan di anak tangga
tercorot Kumpulan E yang langsung tidak mampu menjaringkan gol dalam dua
perlawanan sebelum ini, menimbulkan persoalan mengenai kemampuan anak-anak buah
Zainal dalam mempertahankan kubu mereka.
Malah, Selangor
terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan pemain tengah tuan rumah
Landing Darboe yang melakukan sepakan kencang dari luar kotak penalti untuk
menewaskan penjaga gol Norazlan Razali pada minit ke-28.
Tersentak
dengan jaringan itu, Red Giants kembali mengatur rentak serangan dan berjaya
menemui jaringan penyamaan menerusi tandukan penyerang dari Liberia, Patrick
Ronaldinho Wleh yang menyudahkan hantaran silang cantik daripada Mauro Olivi
pada minit ke-38.
Walaupun R.
Gopinathan meletakkan Selangor di hadapan buat kali pertama pada minit ke-53
untuk menimbulkan jangkaan bahawa skuad pelawat sudah kembali menemukan rentak,
namun perkara sebaliknya berlaku apabila hanya 10 minit kemudian Emeka Onuoha
menjaringkan gol penyamaan untuk Sheikh Jamal.
Malah, gawang
pelawat Norazlan dibocori untuk kali ketiga seminit selepas itu melalui
penyudah kemas kapten Wedson Anselme namun kedudukan itu disamakan semula oleh
penyerang dari Argentina, Olivi yang mudah menolak masuk gol hasil hantaran
Ronaldinho.
Gol penyamaan
itu seakan menyuntik semangat Red Giants untuk memburu tiga mata pertama dalam
saingan Piala AFC apabila menggandakan asakan ke arah kubu pertahanan tuan
rumah dan hasilnya Olivi menjaringkan gol kedua peribadinya dan juga merupakan
gol kemenangan pasukannya.
Kemenangan ini
sekali gus menamatkan kemarau kemenangan Selangor selepas mengalami kekalahan
tiga kali berturut-turut dalam saingan berbeza iaitu bermula dengan tewas 0-1
kepada wakil Singapura, Tampines Rovers dalam aksi kedua Kumpulan E, Piala AFC
diikuti kekalahan 1-3 kepada Terengganu dalam Liga Super dan tersinggir
daripada perebutan Piala FA selepas dikejutkan oleh Polis Diraja Malaysia
(PDRM) 1-2 pada pusingan ketiga.
Bagaimanapun
kemenangan ini tidak mengubah kedudukan Selangor di anak tangga ketiga kumpulan
E, Piala AFC apabila mengumpul empat mata dengan mencatat satu kemenangan, satu
seri dan satu kekalahan.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/selangor-nyaris-dimalukan-1.200936#sthash.hLUSdeDF.dpuf
No comments:
Post a Comment