Ad

Sunday, 13 March 2016

NS idam warnai Liga Super

Oleh Mohd Amin Jalil-sukan@hmetro.com.my
Seremban: Kejayaan membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 5-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Jumaat lalu membuktikan Negeri Sembilan (NS) sudah menemui sentuhan sebenar untuk merebut tempat ke Liga Super, musim depan.

Malah, kemenangan besar itu turut menutup mulut pengkritik yang menyifatkan skuad Hoben Jang Hoben pakar seri.

Sebelum ini, skuad bimbingan Gary Phillips merekodkan tiga seri dengan Kuantan FA, Kuala Lumpur dan Melaka United.

Kemenangan mengatasi The Gladiators itu membolehkan NS melonjak ke tangga kedua carta liga di belakang Kuala Lumpur, dengan sembilan mata.

Penolong ketua pasukan Annas Rahmat berkata, kemenangan itu melenyapkan ‘cakap-cakap’ segelintir pihak yang meragui kekuatan skuad berkenaan walaupun menampilkan empat pemain import berpengalaman - Taylor Regan, Alexander Smith, Andrew Nabbout dan Joel Chianese.

“Saya akui ada segelintir pihak terutama peminat bimbang dengan prestasi pasukan selepas kami gagal dalam saingan Piala FA selain hanya kemenangan sekali ketika mengatasi DRB Hicom FC, daripada empat perlawanan dilalui.

“Namun, dengan kemenangan yang dicapai malam itu dapat meyakinkan kembali pihak berkenaan khususnya peminat terhadap kekuatan kami, walaupun pasukan yang kami hadapi menduduki tangga terbawah carta liga.

“Hakikatnya kami menerima tentangan hebat benteng ATM pada separuh masa pertama. Apapun, kini kami sudah berada landasan betul untuk terus memberikan saingan dalam usaha memburu kejuaraan liga musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 7:07 AM
 
AKSI Negeri Sembilan (jersi kuning) menentang ATM Jumaat lalu.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/122514#sthash.2xoMw38q.dpuf

No comments:

Post a Comment