myMetro
Kuala Lumpur:
Jika Harimau Malaysia mahu melakukan kejutan ke atas Arab Saudi dalam
perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019 di Jeddah awal pagi esok
(jam 1.30 waktu Malaysia), pemain yang mungkin boleh diharapkan untuk
melaksanakan misi itu sudah pasti kapten Safiq Rahim (gambar kiri).
Pemain berusia
28 tahun itu bukan saja mampu menjadi perancang pasukan malah dengan kehebatan
kaki kanannya khususnya ketika mengambil sepakan percuma, dia boleh menjadi
senjata buat skuad kebangsaan.
Melihat kepada
prestasi semasa, Safiq berada pada tahap terbaik bersama Johor Darul Ta’zim
(Johor DT) termasuk meledak lima gol dalam saingan Piala AFC namun persoalannya
adakah dia benar-benar cergas untuk aksi antarabangsa selepas mengharungi
jadual padat bersama kelabnya.
Bagi Safiq, dia
percaya semua pemain sudah bersedia untuk memikul tugas mencabar berdepan
pasukan pendahulu Kumpulan A Arab Saudi yang tidak pernah tewas di Stadium King
Abdullah Sports City dalam saingan kelayakan setakat ini.
“Kami tahu Arab
Saudi antara pasukan terbaik Asia. Jadi, kami akan bermain mengikut kemampuan
dan kekuatan sendiri. Paling penting persembahan kami. Jadi kami perlu mengulangi
persembahan di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media perlawanan itu di
Jeddah semalam.
Pada pertemuan
pertama dengan Arab Saudi yang terkenal dengan jolokan Green Falcons di Stadium
Shah Alam September lalu, Safiq berjaya menyumbat satu gol bagi merapatkan
kedudukan 2-1 sebelum perlawanan dihentikan akibat kekecohan Ultras Malaya di
minit ke-88.
Atas insiden
itu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menghadiahkan kemenangan percuma
3-0 kepada pasukan pelawat kendalian jurulatih Belanda Bert Van Marwijk itu.
Menurut Safiq,
selepas Harimau Malaysia dipalit dengan kekecewaan tahun lalu menerusi beberapa
keputusan buruk termasuk dibelasah 0-10 Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kempen
kelayakan, dia mengharapkan permulaan baik tahun ini.
“Kadangkala
kami kecewa dengan apa yang dialami pemain sebelum ini. Jadi sekarang fasa
baru, kami perlu buktikan sesuatu,” katanya.
Artikel ini
disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 8:20 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/125075#sthash.wiAymFNR.dpuf
No comments:
Post a Comment