ARKIB :
01/12/2010
TERDAPAT
seorang pemuda tinggal di negeri Yaman. Pemuda itu bernama Uwais bin al-Qarni.
Beliau berasal daripada keluarga yang miskin. Beliau bekerja sebagai pengembala
unta. Unta-unta itu adalah milik abangnya yang terletak di sebuah tempat
bernama Qarni.
Selain itu,
Uwais juga membuat kerja-kerja sampingan seperti membersihkan kebun orang dan
memetik buah kurma. Rezeki yang diperolehinya itu, hanya kais pagi makan pagi
dan kais petang makan petang.
Ayahnya sudah
meninggal dunia. Uwais bergantung kasih sayang kepada ibunya yang sudah tua dan
lumpuh. Beliau anak yang baik. Beliau sanggup menjaga ibunya yang lumpuh pada
malam hari, sedangkan pada siang harinya, beliau sibuk mencari nafkah bagi
menyara diri dan ibunya.
Uwais adalah
seorang anak yang taat dan patuh kepada ibunya. Beliau sanggup menjaga ibunya
yang lumpuh dan buta. Beliau juga tidak pernah mengeluh atau menyesal mempunyai
ibu seperti itu, kata seorang penduduk yang tinggal di kampung itu.
Sikap Uwais
yang sangat baik menjadi sebutan orang ramai di kampung itu. Malah, ibunya yang
tua itu menjadi semakin kasih dan sayang pada anaknya itu.
Pada suatu
hari, Uwais mendapat berita, Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam berperang di
Bukit Uhud.
Peperangan itu
dinamakan Perang Uhud. Uwais al-Qarni mendapat tahu Nabi Muhammad tercedera
dalam perang itu. Malah, gigi Nabi Muhammad juga turut patah kerana diserang
oleh musuh.
Gigi Nabi
Muhammad patah. Saya sepatutnya melawat Nabi Muhammad sekarang. Saya mahu
merawat kesakitan beliau. Tetapi saya tidak dapat pergi ke sana, bisik Uwais
seorang diri.
Uwais sedih
sendirian apabila mengenangkan kecederaan yang berlaku pada Nabi Muhammad.
Kemudian, beliau mengambil seketul batu.
Saya mahu
mengetuk batu ini pada gigi saya supaya saya dapat merasakan kesakitan seperti
mana yang ditanggung oleh Nabi Muhammad pada masa ini, kata Uwais seorang
diri.
Rasa cintanya
kepada Nabi Muhammad tidak dapat diungkap dengan kata-kata lagi. Tanpa berfikir
panjang, Uwais mengambil seketul batu dan mengetuk giginya sehingga patah.
Darah mengalir keluar dan beliau merasai kesakitannya.
Uwais al-Qarni
mahu berjumpa Nabi Muhammad di kota Madinah. Tetapi beliau tidak dapat pergi
lama kerana dia mempunyai ibu yang sudah tua dan lumpuh. Tetapi, ibu Uwais
mengizinkannya pergi berjumpa Nabi Muhammad.
Saya Uwais
al-Qarni. Saya datang mahu berjumpa Nabi Muhammad. Saya datang dari Yaman,
kata Uwais kepada Aisyah binti Abu Bakar.
Maafkan saya,
Nabi Muhammad tiada di rumah. Beliau berada di medan Perang Uhud, jawab
Aisyah.
Uwais tergamam
seketika.
Perlukah saya
menunggu Nabi Muhammad pulang. Ibu saya sakit di rumah. Tiada sesiapa
menjaganya, bisik Uwais.
Akhirnya, Uwais
terpaksa pulang ke rumahnya segera. Ibunya sakit di rumah. Beliau berasa kecewa
kerana tidak dapat berjumpa Nabi Muhammad.
Sampaikan
salam saya kepada Nabi Muhammad dengan lafaz assalamualaikum, kata Uwais dan
beredar pergi.
Selepas berjaya
melawan musuh dalam Perang Uhud, Nabi Muhammad pulang ke rumah. Seperti biasa,
beliau bertanya kepada isterinya, Adakah sesiapa mahu berjumpa saya selama
saya tiada di rumah?
Ada. Seorang
pemuda bernawa Uwais al-Qarni. Beliau datang mahu berjumpa tuan. Saya lihat
beliau begitu kecewa selepas mengetahui tuan tiada di rumah, kata Aisyah
kepada Nabi Muhammad.
Beliau
memberitahu saya, beliau tidak dapat menunggu tuan kerana ibunya sakit di
rumah. Tambahan pula, tiada sesiapa menjaga ibunya, jelas Aisyah, isteri Nabi
Muhammad.
Nabi Muhammad
tersenyum mendengar penjelasan itu.
Kemudian Nabi
Muhammad berkata kepada kepada sahabat yang lain, Sekiranya kamu mahu
mengenali Uwais al-Qarni, kamu dapat lihat di tengah tapak tangannya ada tanda
berwarna putih.
Kemudian Nabi
Muhammad berkata kepada Ali dan Umar al-Khattab, Apabila kamu berdua berjumpa
Uwais al-Qarni nanti, kamu mintalah beliau berdoa dan memohon keampunan
daripada Allah. Beliau adalah penghuni langit.
Begitulah kisah
seorang sahabat yang sangat menyayangi dan mengasihi Nabi Muhammad. Seorang
pemuda yang patuh dan taat kepada ibunya yang tua dan sakit lumpuh itu.
Petikan buku
Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz44TKU8OfY
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment