aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat mahu melupakan zaman kegelapan tahun lalu sambil membuka buku baru dengan nota positif, bermula pertemuan menentang Arab Saudi bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah pada 24 Mac ini.
Berikutan ranking merosot ke tangga ke-171 dunia serta mencatat beberapa keputusan memalukan termasuk dibelasah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 0-10 dan tumpas dua kali kepada Palestin dengan 0-6 pada aksi kelayakan pada 2015, ia memberi pengalaman cukup buruk buat pemain Harimau Malaysia.
Menurut Khairul Fahmi atau turut dikenali dengan panggilan Apek, semua pemain termasuk dirinya mengharapkan permulaan yang baik tahun ini di bawah kendalian jurulatih baru Datuk Ong Kim Swee namun pertemuan dengan pendahulu Kumpulan A itu bukan mudah.
“Ini perlawanan pertama untuk pemain, juga buat jurulatih Ong (Kim Swee) sebagai jurulatih Harimau Malaysia. Bagi saya perbezaan tetap ada, untuk perlawanan pertama kita cuba dapatkan keputusan positif.
“Kami tak nak tiap-tiap tahun dikritik peminat, dikecam semua orang. Kami juga mahu keputusan positif untuk negara dan diri sendiri,” katanya ketika ditemui Arena Metro pada sesi latihan semalam.
Khairul Fahmi beraksi pada pertemuan dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam September lalu yang terpaksa dihentikan pada minit ke-88 gara-gara kekecohan Ultras Malaya.
Arab Saudi yang mendahului 2-1 ketika itu diberikan kemenangan percuma 3-0.
Selepas enam perlawanan Arab Saudi unggul dengan 16 mata manakala Malaysia yang sudah tersingkir dalam buruan tiket ke Piala Dunia kini menduduki tempat keempat dengan empat mata daripada tujuh perlawanan dan bakal beraksi di pusingan play-off Piala Asia.
Bagi Apek, walaupun menjadi penjaga gol lebih senior berbanding Izham Tarmizi Roslan dan Farhan Abu Bakar namun ia tidak memberi kelebihannya untuk mendapat slot automatik kesebelasan utama.
“Saya mahu rebut tempat kesebelasan utama dan berusaha mendapatkan keputusan positif kerana bagi saya menang satu bonus untuk kita kerana kita tahu Arab Saudi lawan yang hebat apatah lagi bermain di gelanggang mereka,” kata tonggak Kelantan itu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:16 AM
APEK tekad baiki kesilapan.
- SUMBERt: http://www.hmetro.com.my/node/123338#sthash.fxxNzSaU.dpuf
No comments:
Post a Comment