Angkatan
tentera merupakan tulang belakang bagi pertahanan negara ini dalam menghadapi
ancaman musuh di dalam dan luar negara. Pada hari ini 22 Mac 1975, Panglima
Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, DYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Abdul
Halim Muadzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan mengurniakan
Panji-panji Regimen kepada Sembilan Melayu DiRaja. Baginda juga menyampaikan amanatnya agar
`mengawal dan mempertahankannya setiap masa dengan penuh semangat kesetiaan'. Istiadat
penuh gilang-gemilang dan mengikut tradisi ketenteraan itu berlangsung di
Markas Sembilan Melayu DiRaja di Kantomen Sg. Besi. Dengan penyampaian panji
tersebut Sembilan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1965 telah mendapat
pengiktirafan dan penghargaan negara di atas perkhidmatan setia dan
cemerlangnya. Ia juga merupakan sejarah
di mana Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia buat pertama kalinya
mengurniakan panji-panji Rejimen, manakala di dalam keadaan biasa panji regimen
akan dikurniakan oleh Kolonel Ketua Regimen berkenaan. Seri Paduka Baginda juga
turut memeriksa perbarisan sembilan pegawai dan 335 orang anggota regimen
tersebut. Turut hadir di upacara ini ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Bahiyah
binti Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Hussein Onn berserta isteri, Ketua Turus
Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Ibrahim Ismail, Ketua Turus Tentera Darat,
Leftenan Jeneral Tan Sri Engku Nazaruddin Mohamed dan lain-lain pegawai tinggi
angkatan tentera yang turut disertai oleh isteri masing-masing. Dengan
pengurniaan Panji-panji kepada Batalion Ke-9 Askar Melayu Diraja pada hari ini
dalam tahun 1975, ianya merupakan satu penghormatan kepada angkatan tentera
yang menumpukan taat setia kepada negara.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment