BERNAMA
Kuala Lumpur:
Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati
dengan prestasi Harimau Malaysia walaupun tewas kepada Arab Saudi.
Malaysia kalah
0-2 kepada gergasi Asia Barat itu pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan
Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports
City, Jeddah, Arab Saudi, awal pagi tadi.
Jurulatih
kelahiran Melaka itu berkata, beliau menghimpunkan kesemua 23 pemain sebagai
satu pasukan pada Isnin, dan menambah semua pemain menjalani sesi pemulihan
dalam tiga hari lepas untuk mengembalikan semula kecergasan selepas mengharungi
perlawanan yang padat dalam Liga Malaysia.
"Seperti
yang anda lihat, Arab Saudi menguasai permainan tetapi pemain kami mempamerkan
prestasi yang baik dari segi pertahanan dan menyukarkan Arab Saudi (untuk
menjaringkan gol) dan akhirnya, saya tidak boleh meminta lebih daripada mereka.
"Saya juga
berharap kami dapat belajar daripada kekalahan ini terutama menentang pasukan
negara Timur Tengah dan Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu, Palestin dan
Arab Saudi," Kim Swee berkata dalam sidang media selepas perlawanan itu.
Jabatan Media
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyediakan audio sidang media itu.
Tuan rumah
memperoleh gol mereka melalui Mohammed Al Sahlawi pada minit ke-50 dan Taiseer
Al Jassam pada minit ke-73.
Kim Swee dalam
pada itu berkata, keputusan memasukkan pemain pertahanan yang sering menghadapi
masalah kecederaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, dibuat selepas pemain itu
mengesahkan cergas untuk bermain.
"Saya
tidak mahu mengambil risiko... saya telah mendapatkan pandangan doktor pasukan.
Jika pemain tidak cergas, saya tidak akan benarkan. Bagi saya, Aidil adalah
pemain penting bagi kami," katanya.
Kekalahan itu
menyaksikan Malaysia perlu menempuhi aksi play-off ke pusingan ketiga kelayakan
Piala Asia 2019 manakala gergasi Asia Barat itu layak ke pusingan ketiga
kelayakan Piala Dunia 2018.
Skuad itu dijangka
pulang lewat hari ini sebelum menuju ke Melaka untuk perlawanan persahabatan
menentang Macau di Stadium Hang Jebat pada 29 Mac. - Bernama
Artikel ini
disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 11:52 AM
KIM Swee (dua
kanan) bersama barisan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan pada sesi latihan
di Wisma FAM 17 Mac lalu. FOTO fail NSTP Osman Adnan
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/125358#sthash.Vw2fIYf3.dpuf
No comments:
Post a Comment