Ad

Tuesday, 15 March 2016

Piala AFC: Selangor atasi SJD 4-3

SELASA, 15 MAC 2016 @ 10:49 PM

KUALA LUMPUR: Kemenangan pertama berjaya diraih Selangor dalam kempen Piala AFC 2016 selepas menewaskan kelab Bangladesh, Sheikh Jamal Dhanmondi (SJD) 4-3 pada aksi di laman lawan, sebentar tadi. Hadir ke Stadium Nasional Bangabandhu, Dhaka dengan rekod 1 seri dan 1 kekalahan pada dua perlawanan awal Kumpulan E sebelum ini, kemenangan sekali gus kembali menghidupkan peluang Selangor untuk bersaing dalam kejohanan bola sepak benua itu.

Begitupun, kemenangan jelas bukan mudah buat Selangor yang tampil tanpa beberapa pemain utama apabila terlebih ketinggalan menerusi jaringan Landing Darboe pada minit ke-28 sekalipun lebih menguasai perlawanan. Terdesak memburu jaringan penyamaan, gol yang dicari Selangor akhirnya hadir pada minit ke-39 menerusi penyerang tinggi lampai, Patrick Ronaldinho yang bijak menanduk bola hantaran penyerang, Mauro Olivi.

Tiada tambahan jaringan berakhir separuh masa pertama sebelum pesta gol bermula pada babak kedua. Lapan minit selepas babak kedua bermula, Selangor berjaya di depan menerusi gol R Gopinathan yang bijak menampan bola hantaran Ronaldinho untuk menewaskan penjaga gol SJD, Sahidul Alam. Begitupun, Sheikh Jamal kembali samakan kedudukan 2-2 menerusi gol kedua Emeka Onuoha pada minit ke-64 yang bijak menanduk bola yang gagal dibaca Norazlan Razali.

Seakan tersentak dengan jaringan penyamaan itu, gawang Selangor sekali lagi bocor seminit kemudian yang meletakkan SJD mendahului menerusi Enamul Hoque. Begitupun, jaringan itu tidak mencemaskan Selangor yang kembali menyamakan kedudukan 3-3 menerusi jaringan Mauro Olivi pada minit ke-69 sebelum penyerang kelahiran Argentina itu meledak gol kedua peribadi pada minit ke-82 yang juga gol kemenangan.

Pada dua perlawanan sebelum ini, sekadar mencatat keputusan seri 2-2 bertemu kelab Filipina, Ceres La Salle namun tumpas di tangan kelab Singapura Tampines Rovers 0-1 di Selayang, minggu lalu. Pada perlawanan ini, Selangor berdepan kesulitan apabila kehilangan beberapa pemain utama antaranya Ahmad Hazwan Bakri, Robert Cornthwaite dan Andik Vermansyah akibat kecederaan manakala pemain perancang Hafiz Kamal digantung satu perlawanan.


SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/134048

No comments:

Post a Comment