Ad

Monday, 28 March 2016

Terbuka NZ: Peng Soon-Liu Ying rangkul gelaran pertama

27 MAC 2016
 Chan Peng Soon-Goh Liu Ying
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying Liu Ying (kanan) dan Peng Soon menang 21-14, 21-18 ke atas pasangan India.
BEREGU campuran negara Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon merangkul gelaran pertama mereka pada tahun ini selepas muncul juara Kejohanan Badminton Grand Prix Emas Terbuka New Zealand, hari ini.

Gandingan emas Sukan Asia 2010 itu menundukkan gandingan Zheng Siwei/Li Yinhui dari China dalam straight set 21-19 dan 22-20 dalam pertarungan sengit

selama 45 minit, menurut laman web rasmi kejohanan itu www.nzbadmintonopen.com.

Gelaran itu bakal meningkatkan keyakinan pasangan itu untuk memenuhi impian melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 pada Ogos, selepas persembahan mengecewakan apabila tersingkir dalam pusingan pertama pada Terbuka Jerman dan All-England bulan lepas.

"Ini merupakan tahun Olimpik dan ia meningkatkan keyakinan kami untuk menghadapi kejohanan akan datang, terutamanya Rio. Kami tidak membuat banyak persediaan bagi kejohanan ini tetapi kami menganalisis lawan kami dan cuba sebaik mungkin untuk tidak memberikan mata mudah.

"Saya membuat beberapa kesilapan tidak sepatutnya tetapi nasib baik kami tidak dihukum untuk itu. Mereka mempunyai kelebihan kerana masih muda dan tangkas, jadi kami terpaksa gunakan pengalaman kami untuk menang," kata Liu Ying yang dipetik berkata demikian selepas perlawanan itu.

Gandingan itu dijangka mengambil bahagian dalam Terbuka India dari 29 Mac hingga 3 April dan Terbuka Malaysia dari 5-10 April. - Bernama

 Sumber-SINAR HARIAN 27.3.2016

No comments:

Post a Comment