17 Mac 2016 12:27 AM
MOHD. HAFIZ KAMAL (kiri) menjalani latihan bersama skuad negara
MOHD. HAFIZ KAMAL (kiri) menjalani latihan bersama skuad negara di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam. UTUSAN/Nasirruddin Yazid
KUALA LUMPUR – Pemain tengah Selangor, Mohd. Hafiz Kamal berharap dapat menggunakan kepakarannya dalam mengambil sepakan bebas untuk membantu skuad Harimau Malaysia memperoleh gol seterusnya mencipta kemenangan dalam kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi di Stadium King Abdullah pada 24 Mac.
Hafiz yang berkebolehan untuk menjaringkan gol menerusi situasi bola mati menggunakan kaki kirinya bersedia untuk bergandingan dengan kapten Mohd. Safiq Rahim, yang merupakan pilihan pertama untuk mengambil sepakan bebas, sekiranya dia diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Pertamanya, saya perlu berusaha untuk dimasukkan ke dalam skuad utama, bagaimanapun itu semua atas kuasa jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) untuk menentukannya.
“Bagi saya kelebihan dalam mengambil sepakan bebas ini merupakan salah satu kelebihan yang kita ada untuk membantu pasukan mencipta gol dan saya fikir kita mampu menghasilkannya (gol),” katanya kepada pemberita selepas menjalani latihan di Wisma FAM semalam.
Seandainya pengendali skuad kebangsaan Kim Swee meletakkan Hafiz dan Safiq untuk beraksi dalam kesebelasan utama menentang Arab Saudi nanti pasukan negara dilihat mampu mencipta gol kerana kedua-dua pemain tersebut berkebolehan menyempurnakan sepakan bebas dengan baik.
Hafiz sebelum ini pernah menjaringkan gol bersama skuad Red Giants pada musim ini hasil sepakan bebas dengan menggunakan kaki kirinya manakala Safiq menggunakan kaki kanan dan situasi tersebut seharusnya digunakan dengan baik oleh skuad negara.
Dalam pada itu, Hafiz yakin skuad negara mampu menyaingi Arab Saudi dengan syarat tidak terlalu menghormati pasukan lawan.
“Bagi saya pasukan dari negara Arab fizikal mereka dianggap sebagai satu kelebihan dan pada pendapat saya corak permainan lebih kurang sama. Mungkin kita terlalu hormat kepada mereka.
“Untuk aksi sulung skuad negara tahun ini, saya fikir kita harus menang untuk menutup suara penyokong yang mengkritik pasukan selepas kita kalah teruk tahun lalu,” katanya lagi.
Skuad negara sebelum ini pernah dimalukan oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) 10-0 dalam aksi dwikelayakan tersebut.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua Hafiz dipanggil menyertai skuad negara selepas kali terakhir sewaktu menewaskan Timor Leste 1-0 dalam aksi dwikelayakan itu di tempat lawan sebelum terpaksa disingkirkan apabila dia mengalami kecederaan buku lali.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-ada-dua-8232-pakar-sepakan-bebas-1.201252#sthash.zNrZjhXD.dpuf
No comments:
Post a Comment