Ad

Friday, 18 March 2016

KL buru bekalan selesa di Ipoh

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

 

BARISAN pemain Kuala Lumpur sudah bersedia melakar kejutan pada aksi suku akhir pertama Superbest Power Piala FA menentang Perak di Ipoh malam ini.

 

WALAUPUN tidak di label sebagai pasukan pilihan, tetapi skuad Kuala Lumpur tetap mengintai peluang untuk melangkah lebih jauh pada kempen Superbest Power Piala FA musim ini.

 

Malam ini, skuad warga kota akan turun membuat perhitungan dengan Perak pada aksi suku akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh dengan misi untuk mencari bekalan selesa sebelum mengharungi suku akhir kedua nanti.

 

Sasaran tersebut tidak mustahil kerana sentuhan bekas jurulatih Sime Darby, Ismail Zakaria ternyata mempunyai ‘magis’ tersendiri apabila masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Premier setakat ini selain mara ke suku akhir Piala FA.

 

Pemain sayap The Cityboys, Fahrul Razi Kamaruddin percaya dia dan rakan sepasukan mampu membawa pasukan tersebut beraksi di pentas separuh akhir berdasarkan aksi semasa yang cukup memberangsangkan.

 

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui layak ke suku akhir merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan ekoran mereka tidak diletakkan sebarang harapan pada awal saingan.

 

“Untuk perlawanan Sabtu ini (malam ini), kami akan cuba buat yang terbaik walaupun sedar Perak merupakan sebuah pasukan Liga Super. Memandangkan kami sudah sampai ke tahap ini, kami sasar untuk layak ke separuh akhir.

 

“Sebenarnya, beraksi di suku akhir sudah membuatkan kami bangga dan gembira kerana ia seolah-olah satu kejayaan buat kami, namun kami mahu mara sejauh mungkin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

 

Pemain berusia 30 tahun itu juga sedikit lega kerana mereka bakal turun sebagai pasukan bukan pilihan sekali gus mengurangkan tekanan yang perlu dipikul semua pemain.

 

“Menjadi pasukan bukan pilihan mungkin melegakan kami kerana mampu mengurangkan tekanan. Oleh itu, kami boleh beraksi dengan lebih yakin kerana kami perlu mencari bekalan gol untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.

 

“Mungkin pemain-pemain muda tidak pernah beraksi pada perlawanan sebegini, namun pemain-pemain senior akan membantu mereka sepanjang perlawanan. Jadi, tidak ada masalah untuk kami bermain dengan baik,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Kuala Lumpur terpaksa melupakan khidmat tiga pemain utama termasuk pemain import, Mario Karlovic pada perlawanan malam ini akibat kecederaan serta menjalani penggantungan perlawanan.

 

“Kehilangan Mario (Karlovic) amat dirasai kerana dia merupakan pemain yang cukup kreatif, namun jurulatih (Ismail) sudah mengenal pasti pemain-pemain yang akan memikul tanggungjawab tersebut,” jelasnya lagi.

 

 

 

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz43JXyf6FE Hak

No comments:

Post a Comment