Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
HASHIM bersama kasut emas yang diraih ketika bersama Kelantan pada tahun 1993 dan 1994.
BEKAS penyerang Kelantan, Hashim Mustafa mencabar pemain-pemain tempatan terutama pemain kebangsaan berusaha keras untuk meledak lebih 30 gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.
Cabaran itu dibuat bagi mengatasi jaringan peribadinya dengan 30 gol yang dihasilkan dalam saingan Liga Perdana pada tahun 1994.
Saban tahun, penyerang import dilihat lebih mendominasi gelaran kasut emas berbanding pemain tempatan dan Hashim mengakui beliau sedikit terkilan menyaksikan situasi tersebut.
Menurutnya, beliau yakin anak-anak tempatan memiliki kebolehan untuk bersaing dengan penyerang-penyerang import sebagaimana pemenang Kasut Emas 1993 itu meledak 13 gol, pernah mengalami situasi sama seperti pemain-pemain moden sekarang.
“Saya fikir pemain-pemain kita boleh bersaing merebut (gelaran) kasut emas dengan pemain import sebab saya sendiri sudah berjaya lakukannya. Yang penting para pemain kita kena berusaha keras.
“Saya masih ingat lagi pada tahun 1993 ketika itu saya muncul sebagai penjaring terbanyak dan pada tahun seterusnya, saya sudah tekad untuk mempertahankan status itu yang mana saya cukup ghairah menjaringkan gol tidak kira pasukan kami menang atau kalah.
“Tahun 1994 merupakan detik gemilang saya apabila berjaya menjaringkan 30 gol dalam liga (ketika itu dikenali sebagai Liga Perdana sebelum dinaik taraf menjadi Liga Super pada tahun 2004), tiga gol dalam Piala FA dan empat gol di dalam kempen Piala Malaysia.
“Saya nampak penyerang-penyerang tempatan sekarang sedikit terancam selepas kehadiran pemain import. Untuk menjadi penyerang handalan bukan senang dicapai kerana mereka haruslah rajin buat ‘kerja rumah’.
“Jika kamu mendapat peluang lima minit beraksi di atas padang, gunakanlah peluang itu sebaik mungkin. Saya lebih rela bermain lima minit jika dapat menjaringkan gol berbanding bermain penuh 90 minit tetapi tidak menjaringkan gol.
“Ingat, mereka tidak boleh pilih bola ‘sedap’ sahaja untuk menjaringkan gol kerana penyerang haruslah ada sedikit sikap ‘tamak’ selain bijak menghidu, memanfaatkan dan menjelmakan jaringan untuk pasukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Sebagai rekod, Abdul Hadi Yahya muncul sebagai pemenang kasut emas terakhir Liga Super buat pemain tempatan ketika meledak 20 gol bersama bekas pasukan, Terengganu pada tahun 2011 dan Khairul Izuan Abdullah pemenang kasut Liga Premier apabila menjaringkan 27 gol ketika bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 2012.
Hashim juga mengharapkan satu persaingan sengit dan sihat dalam kalangan pemain-pemain tempatan terutama penyerang sebagaimana beliau pernah menjadikan legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari sebagai ‘musuhnya’.
“Kadang-kadang kamu memerlukan motivasi. Sebagai contohnya, saya akui saya tidak boleh lawan kehebatan Allahyarham Mohktar di pentas antarabangsa tetapi saya boleh cabar beliau di dalam aksi liga tempatan.
“Penyerang sentiasa kena bersaing. Mereka kena ingat bahawa posisi mereka belum selamat selagi tidak memberikan gol buat pasukan sendiri. Saya pernah menasihati (penyerang Terengganu) Norshahrul Idlan Talaha ketika dia mewakili Kelantan.
“Saya percaya dia lebih hebat daripada saya kerana dia cukup berbisa ketika menggelecek dan kini, saya berharap lebih ramai lagi penyerang-penyerang tempatan akan lebih berani beraksi berbanding penyerang import,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz42eLVJ8iB Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment