SELASA, 8 MAC
2016 @ 11:59 AM
Oleh Mohamad
Zulfaizan Mansor zulfaizan@bh.com.my
KETUA Jurulatih
pasukan Selangor, Zainal Abidin Hassan (kanan) dan Kapten pasukan Selangor,
Muhammad Shahrom Abd Kalam pada sidang media Piala AFC 2016 di KIP Hotel. -
Foto Osman Adnan NSTP
KUALA LUMPUR:
Pertemuan dengan kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Majlis Perbandaran
Selayang, malam ini bakal menjadi medan terbaik buat Selangor menebus
kekecewaan selepas tersingkir dari saingan Piala FA. Kemenangan ke atas
Tampines Rovers wajib diraih skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan bagi membuka
peluang lebih luas dalam usaha mereka untuk melepasi peringkat Kumpulan E
saingan Piala AFC musim ini.
Justeru, Zainal mengingatkan barisan pemainnya
melupakan segera kekecewaan di Piala FA selepas tewas 1-2 kepada Polis Di Raja
Malaysia (PDRM), Jumaat lalu. Sambil mengakui kelebihan di gelanggang sendiri
harus di manfaatkan, Zainal turut menjelaskan betapa pasukannya sangat
memerlukan tiga mata selepas terikat 2-2 pada perlawanan pertama berdepan Ceres
FC dari Filipina, pada 23 Februari lalu.
"Kami
sangat serius dengan perlawanan ini terutama selepas sekadar seri dengan Ceres.
Kami perlu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri. "Pemain
yang cedera sebelum ini termasuk Andik (Vermansyah) juga sudah sedia untuk
diturunkan. Hanya Robert Cornthwaite saja tidak bersama pasukan. "Paling
penting, kami perlu lupakan kekalahan di Piala FA. Situasi kami sekarang adalah
terpaksa berdepan dengan jadual padat, tetapi ia tidak menjejaskan misi di
Piala AFC," katanya. Mengulas lanjut berkenaan pasukan lawan, Zainal
mengakui sudah meneliti beberapa kekuatan dan kelemahan yang dimiliki Tampines
Rovers.
"Memang
kita sangat mengenali Tampines Rovers dan skuad itu dibarisi beberapa pemain
Lions XII. Apapun kami tidak boleh pandang mudah perlawanan ini," katanya.
Kapten Selangor, Shahrom Kalam pula berkata kekalahan kepada PDRM memberi
pengajaran berguna kepada skuad The Red Giants dan berjanji akan memperbaiki
segala kelemahan. "Moral semua pemain masih pada tahap terbaik. Malah
kekalahan kepada PDRM di awal musim membolehkan kami belajar sesuatu dan kami
masih mempunyai masa untuk perbaiki kelemahan," katanya.
SUMBER:
http://www.bharian.com.my/node/131800
No comments:
Post a Comment