Ad

Wednesday 16 March 2016

Johor DT bakal berpesta gol

Oleh WAN NOR ZURAIHAH WAN ALI
 
GOMEZ (dua dari kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya daripada Lao Toyota FC, Phomphakdy Valakong selepas sidang akhbar di Johor Bahru semalam yang turut dihadiri Aidil Zafuan (kanan) dan kapten Lao Toyota FC, Paseuthsack Souliyavong.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) bakal berpesta gol ke atas Lao Toyota FC pada aksi pe­ringkat Kumpulan H kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam ini.

Namun, dengan satu jaminan iaitu skuad Harimau Selatan itu perlu mengulangi prestasi yang mereka pamerkan ketika membelasah kelab Myanmar, Ayeyawady United 8-1 di gelanggang yang sama bulan lalu.

Setakat ini skuad kendalian Mario Gomez itu sudah melakar dua kemenangan iaitu menewaskan Aye­yawady United dan Bengaluru FC, sekali gus membolehkan mereka menerajui kedudukan Kumpulan H dengan enam mata.

Walaupun dilihat memiliki ke­lebihan pada aksi malam ini, namun Gomez tetap mengingatkan barisan pemainnya agar berwaspada dan mengelak berasa terlalu yakin ke atas lawan mereka itu.

Kelab dari Laos itu kini menghuni tangga ketiga Kumpulan H dengan tiga mata.

“Bagi kami, semua perlawanan adalah penting dan tiada istilah lawan mudah kerana semua pasukan yang bersaing pada kempen Piala AFC ini memiliki kelebihan tersendiri.

“Pada perlawanan esok (malam ini) saya mungkin melakukan beberapa perubahan dalam ke­sebelasan utama memandangkan mereka (Lao Toyota FC) juga mungkin menampilkan corak permainan yang berbeza berban­ding sebe­lumnya,” kata Gomez pada sidang akhbar di Hotel Thistle, Johor Bahru semalam.

Sementara itu, pemain pertahanan Harimau Selatan, Aidil Zafuan Abdul Razak pula mengharapkan aksi konsisten daripada rakan-rakan sepasukannya da­lam mengharungi perlawanan tersebut selain menyifatkan ia sebagai satu ramuan yang ampuh untuk membenam skuad kendalian jurulatih Phomphakdy Valakong itu.

“Saya lebih menekankan aspek konsistensi dalam pasukan dan tidak kisah sama ada kita menja­ringkan gol awal atau sebaliknya, namun apa yang penting adalah kemena­ngan.

“Tidak guna jika kita menjaringkan banyak gol pada awal permainan, namun tidak dapat meneruskan momentum hingga ke penghujung permainan,” jelasnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0316&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz433fpYtEX Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment