28 Mac 2016 1:07 AM
PEMAIN Malaysia B-22, Mohd. Zarulizwan Mazlan diasak
pemain Nepal, Rabin Shrestha (kanan) dalam perlawanan persahabatan di Stadium
Tunku Abdul Rahman, Paroi, semalam. utusan/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR – Selepas mencatat kemenangan selesa 4-1 ke
atas Filipina dalam perlawanan pertama, Rabu lalu, skuad Malaysia Bawah 22
tahun (B-22) menerima ujian sebenar apabila memerlukan gol lewat minit Muhammad
Arif Mohd. Anwar untuk mengikat Nepal 1-1 dalam aksi persahabatan di Paroi,
semalam.
Tidak seperti ketika menentang Filipina, jurulatih B-22
Malaysia, Frank Bernhardt gagal menggunakan hantaran-hantaran pendek sepenuhnya
selepas Nepal, yang dibarisi pemain senior memberi tekanan sejak awal permainan
di Stadium Tuanku Abdul Rahman.
Selepas menguasai sebahagian besar perlawanan, terutama
pada separuh masa pertama, pasukan pelawat akhirnya menghukum skuad muda negara
dengan membuka jaringan pada minit ke-37.
Bharat Khawas memanfaatkan kesilapan pertahanan Malaysia,
Faris Shah Rosli sebelum menewaskan penjaga gol, Haziq Nadzli.
Kegagalan Faris membaca tepat bola hantaran tinggi
membawa padah apabila Bharat dengan pantas mencuri bola daripadanya sebelum
melepaskan rembatan yang gagal dibaca Haziq.
Nadzli sebelum itu beraksi cemerlang menghalang gawang
Malaysia daripada dibolosi hasil rentetan serangan Nepal yang beraksi dengan
tempo pantas.
Pada penghujung babak pertama, Bernhardt melakukan
beberapa pertukaran, sebelum memasukkan Arif sebaik saja separuh masa kedua
bersambung.
Arif berjaya merapatkan kedudukan hasil hantaran silang
S. Kumaahran pada minit ke-86 menewaskan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu
yang masuk menggantikan Bikesh pada minit ke-65.
Begitupun, gol penyamaan itu hanya hadir empat minit
sebelum masa permainan berakhir apabila Arif menggunakan kelincahannya untuk
melepaskan rembatan mudah mengatasi penjaga gol Nepal.
Walaupun gagal mencatat kemenangan kedua, namun jaringan
Arif sudah memadai untuk mengelakkan skuad projek Sukan SEA 2017 daripada
mengalami kekalahan mengejut.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/nepal-beri-pengajaran-berguna-1.205611#sthash.tlWMxZYa.dpuf
No comments:
Post a Comment