Pasukan Polis
merupakan satu pasukan keselamatan yang ditubuhkan untuk bertanggungjawab
menjaga keamanan dan keselamatan sesebuah negara. Pada hari ini 25.3.1807 satu
pasukan polis yang pertama telah ditubuhkan di Pulau Pinang. Pasukan itu adalah
merupakan asas kepada penubuhan pasukan Polis Diraja Malaysia sekarang. Pasukan
Polis itu dianggotai oleh anak-anak tempatan dan diletakkan di bawah perintah
seorang Ketua Polis dan seorang timbalannya. Mr. James Carnegy merupakan orang
pertama dilantik menjadi Ketua Pasukan Polis tersebut. Penubuhan Pasukan Polis
Pulau Pinang itu telah merintis jalan ke arah penubuhan Pasukan Polis di
negeri-negeri lain. Negeri Melaka mula mengikut langkah Pulau Pinang apabila
pasukan Polisnya ditubuhkan pada tahun 1827. Kedua-dua pasukan itu kemudiannya
disatukan menjadi Pasukan Polis Negeri-negeri Selat. Apabila berlakunya
pertukaran pentadbiran tanah jajahan Inggeris dari Pejabat Tanah Jajahan India
ke England, dalam tahun 1872, pentadbiran pasukan Polis ini telah turut terlibat
sama. Ia diletakkan di bawah perintah seorang `Inspector General' yang berpusat
di Singapura. Perkembangan Pasukan Polis maju setapak lagi apabila tertubuhnya
pasukan polis bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada 2 Jun, 1899. Kapten
H.C.Syers telah dilantik sebagai Ketua Pasukan Polis ini. Satu pentadbiran
pusat telah diwujudkan. Sementara itu bagi Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu
pula, pasukan polisnya bermula di negeri Johor pada tahun 1882, Kedah dan
Kelantan 1909 dan Terengganu 1914. Bagi Negeri-negeri Sabah dan Sarawak sejarah
pasukan polis bermula pada tahun 1840 secara tidak rasmi di bawah kelolaan Raja
Brooke. Tetapi kemudiannya Pasukan Polis Sarawak telah ditubuhkan pada 1862
yang mengandungi 120 orang anggota, dan Mejar W.H. Rodway telah dilantik
sebagai Pengarahnya. Pasukan Polis Sabah pula mulai ditubuhkan pada tahun 1882.
Menjelang tahun 1948 perkembangan pasukan polis maju setapak lagi apabila
seluruh pasukan polis di seluruh Semenanjung Tanah Melayu disatukan dan
kemudian dikenali sebagai Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Pasukan Polis
Diraja Malaysia kemudiannya telah dibentuk dengan gabungan dari Pasukan-pasukan
Polis Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Sumber-http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment