Oleh SHARKAWI LONDING
SAFIQ menjaringkan dua gol buat Johor DT pada aksi menentang Lao Toyota FC pada kempen Piala AFC 2016 di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi yang berkesudahan tuan rumah menang 3-0.
DUA gol daripada kapten Safiq Rahim dan satu lagi daripada Amri Yahyah sudah cukup untuk menghadiahkan kemenangan 3-0 Johor Darul Takzim (Johor DT) ke atas Lao Toyota FC dari Laos pada aksi peringkat Kumpulan H kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi.
Kemenangan tersebut terus mengukuhkan kedudukan skuad Harimau Selatan selaku pendahulu kumpulan dengan memungut sembilan mata selepas mengharungi tiga perlawanan setakat ini, manakala Lao Toyota kekal di tangga tercorot dengan memungut tiga mata.
Pada aksi semalam, kedua-dua pasukan bermula dengan rentak permainan berhati-hati, namun tetap memiliki peluang untuk memecah kebuntuan tetapi dinafikan penyudah yang hambar, sekali gus menyaksikan aksi separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.
Pada separuh masa kedua, rentak Johor DT nampak berbeza selepas jurulatih, Mario Gomez membawa masuk Safiq, Pereyra Diaz dan Mahalli Jasuli bagi menguatkan jentera serangan dan langkah tersebut telah membuahkan hasil.
Tiga gol berjaya disempurnakan dengan Safiq menyudahkan dua sepakan penalti (m-62, m-74), manakala Amri melengkapkan kemenangan bergaya 3-0 itu menerusi percubaannya pada minit ke-90.
Begitupun, kedua-dua pasukan kehilangan seorang pemain pada separuh masa kedua apabila pemain Johor DT, S. Kunanlan dilayangkan kad merah oleh pengadil manakala pemain Lao Toyota, Takahiro Saito turut menerima hukuman serupa.
Kedua-dua pasukan akan sekali lagi membuat perhitungan pada aksi kedua yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Laos, Vientiane pada 13 April depan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0317&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz437cV9Y1y Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment