Ad

Sunday, 13 March 2016

Johor DT kembali terajui liga

 
SAFIQ menjaringkan gol pembukaan Johor DT pada aksi menentang PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi yang berkesudahan Harimau Selatan menang 2-0.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) mengambil alih kedudukan selaku peneraju Liga Super daripada Felda United selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi.

Dengan kemenangan tersebut, Johor DT kini mengumpul 13 mata, mengatasi Felda dengan kelebihan satu mata,

Pada aksi malam tadi, kapten Johor DT, Safiq Rahim terus membuktikan kehebatannya selaku pemusnah apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-49 menerusi sepakan penalti selepas kedudukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Walaupun sebahagian besar barisan pemain Johor DT masih keletihan selepas aksi menentang Bengaluru FC pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) minggu lalu, namun ia tidak menjejaskan rentak mereka yang terus mempamerkan kelas tersendiri untuk menyekat kemaraan PDRM yang dilihat lebih agresif mengatur gerak sejak di awal permainan.

Namun, pengalaman yang dimiliki pemain Johor DT membolehkan mereka mengawal permainan dengan baik tanpa memberi sebarang ruang buat para pemain PDRM meloloskan diri.

Asakan demi asakan yang dilancarkan Johor DT sekali lagi membuahkan hasil apabila mereka memperoleh gol kedua pada minit ke-77 menerusi Pereyra Diaz, sekali gus mengesahkan kemenangan 2-0 Harimau Selatan pada perlawanan tersebut.

Dalam satu lagi perlawanan, Perak dan T-Team berkongsi satu mata selepas terikat seri tanpa jaringan pada aksi yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Walaupun kedua-dua pasukan memiliki peluang untuk menjelmakan jaringan tetapi ketumpulan jentera serangan menghampakan hasrat mereka untuk melakar kemenangan.

Berdasarkan keputusan tersebut, Perak kini menghuni tangga kesembilan liga dengan empat mata manakala T-Team menduduki tempat kesepuluh dengan tiga mata.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0314&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz42pVuNnTr Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment