Ad

Sunday, 3 April 2016

Karbala: Mengingati 10 Muharam

ARKIB : 05/02/2006
Oleh: MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
MUHARAM mempunyai tradisi panjang sebagai bulan suci dalam Islam. Misalnya, pada 16 Muharam, kiblat dialihkan dari Jerusalem (Baitulmaqdis) ke Mekah. Daripada kalangan penganut Syiah, bulan Muharam mempunyai makna khusus sebagai bulan ketika Imam Hussain ibnu Ali, cucu Nabi Muhammad s.a.w. syahid.

Pada 81H/680M, di tempat yang disebut Karbala di pinggir Sungai Eufrat, pasukan Yazid ibnu Muawiyah di bawah komando ibnu Ziyad mengepung Imam Hussain dan rombongannya. Seluruh laki-laki dalam keluarga Hussain kecuali puteranya yang masih kecil, Zainal Abidin, terbunuh. Hussain dipenggal dan tubuhnya dipotong-potong. Kemudian kepala Hussain dibawa kepada Yazid bin Muawiyah. Yazid menangis di atas kejadian tersebut. Dia kemudian berkata, ``Sebenarnya saya sudah berasa puas terhadap ketaatan kamu tanpa harus membunuh Hussain, semoga Allah melaknati ibnu Sumaiyah (Ibnu Ziyad), demi Allah seandainya saya menyertainya pasti saya akan memaafkannya dan semoga Allah melimpahkan rahmat kepada Hussain.''

Ini merupakan fitnah dan tragedi besar yang menyayat hati pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa ini telah melebarkan pintu perpecahan sesama umat Islam. Walaupun penganut fahaman Sunni dan Syiah sama-sama mengakui tragedi pengorbanan Hussain, bagi Syiah, peristiwa ini mempunyai erti khusus sebagai saat kritis dalam sejarah Islam ketika rejim rasmi Islam membunuh satu-satunya cucu Nabi Muhammad yang masih hidup.

Dalam memperingati kesyahidan Hussain ini, sepuluh hari pertama bulan Muharam merupakan saat kesedihan yang amat mendalam bagi penganut ajaran Syiah. Bagi memperingatinya, penganut Syiah mengadakan majlis ratapan, perarakan umum, dan kegiatan-kegiatan lain. Kemuncak peringatan ini ialah bermula pada tanggal 10 Muharam di mana Hussain terbunuh yang dikenali pula sebagai hari Asyura.

Tujuan kegiatan ini adalah untuk mengingatkan peristiwa Karbala secara eksistensi dan dramatis bagi merangsang mengalir keluarnya air mata kesedihan para penganutnya. Air mata ini sebagai tanda kesedihan dan ratapan atas kesyahidan Imam Hussain.

Di seluruh dunia Islam, terdapat berbagai-bagai acara yang dihubungkan dengan kedukaan penganut Syiah pada 10 Muharam ini. Di Iran, pada malam kesepuluh bulan Muharam atau lebih dikenali malam Asyura, hampir seluruh masyarakat kota Teheran, turun ke jalan untuk mengadakan perarakan mengingati tragedi Karbala, Mereka membaca syair-syair tentang Imam Hussain dengan diiringi paluan gendang sebagai tanda kesedihan.

Pada 1 hingga 10 Muharam hampir semua penduduk di kota Teheran berpakaian hitam tanda dukacita. Walaupun mereka masih melakukan aktiviti kerja. Bukan hanya pakaian mereka sahaja, tetapi kota-kota besar di Iran kebanyakannya dihiasi dengan sepanduk-sepanduk berwarna hitam dengan tulisan ``Hussain bithatu minni waman idha'aha laqod adhani'', ``al-Hassan wal al-Hussain syababun Ahlil jannah,'' ``Anal Hussain As misbahulda wa safinatunnajah.'' (Hussain adalah darah dagingku barang siapa yang menyakiti bererti menyakitiku, Hassan dan Hussain adalah penghulu para pemuda syurga, Hussain adalah pelita penerang dan perahu penyelamat.)

Sepuluh Muhharam dalam bahasa Arab disebut `Asyura'. Tradisi memperingati hari Asyura ini juga dilakukan di beberapa daerah di Nusantara seperti di Sumatera Barat, Bingkulu, Sulawesi Selatan, dan Jawa. Ada sedikit persamaan antara masyarakat Jawa di Indonesia dengan negara kita di mana sempena memperingati hari Asyura masyarakat Islam mempersiapkan makanan khusus yang disebut sebagai bubur suro.

Tradisi ini wujud di Indonesia walaupun dikatakan masuk dan berkembangnya ajaran Syiah di negara tersebut daripada perspektif sejarah memang masih kontroversi dan menimbulkan polemik.

Tidak ada fakta jelas mengenai asal-usul upacara itu. Para ulama apabila ditanya hanya menjelaskan tentang disunatkan puasa pada hari Asyura itu. Mengapa? Kerana hari itu adalah hari pertolongan Allah kepada para Nabi dalam menghadapi orang-orang yang zalim. Pada hari Asyura, Nabi Ibrahim lepas daripada api Namruz, Nabi Yunus keluar dari perut ikan, Nabi Musa bebas daripada kerajaan Firaun, dan Nabi Muhammad selamat daripada diracuni oleh orang Yahudi. Bagi umat Islam yang soleh mereka melaksanakan puasa Asyura sebagai ungkapan syukur atas kemenangan para nabi.

Kini sejauh manakah dikatakan tragedi Karbala yang terjadi pada zaman Hussain telah berulang kembali dalam sejarah kehidupan manusia? Dari segi realiti, ia berlaku dalam waktu dan bentuk yang berbeza.

Kesamaannya ia adalah satu tragedi yang telah merosak dan menghancurkan sendi-sendi keadilan dan kemanusiaan antara sesama manusia. Ia telah membunuh sifat-sifat rohani manusia, yang seharusnya dapat membawa manusia kepada jalan kebenaran.

Hari ini kita dapat menyaksikan peristiwa Karbala dalam bentuk yang lain. Sejarah mencatat bagaimana berlaku peristiwa pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam seperti yang berlaku di Bosnia, Ambon, Indonesia, Palestin, Iraq dan selatan Thailand, selatan Filipina, Kashmir, India dan Chechnya. Dalam hal ini umat Islam seolah-olah sudah kehilangan maruah dan harga diri. Mereka terpaksa lari dari tanah air mereka sendiri kerana indentiti keislaman mereka. Walhal bumi Allah ini adalah sama. Sesiapa pun berhak tinggal di mana sahaja. Allah tidak memandang wilayah di mana pun untuk tempat tinggal seseorang Muslim.

Kekuasaan dan keserakahan nafsu jahat telah menghantui dan menjadi orientasi golongan yang melakukan pembunuhan tersebut. Betapa tidak bagaimana seorang ayah dibunuh di depan keluarganya, seorang anak kecil ditembak sewenang-wenangnya. Malah umat Islam yang sedang bersujud kepada Ilahi juga dihujani dengan peluru daripada umat Islam sendiri. Apa pun alasannya, atas nama adat atau pembelaan, jelas ini merupakan tragedi kemanusiaan yang paling menyayat hati.

Dengan cara ini manusia telah turun darjatnya melebihi binatang. Kerana binatang membunuh, hanyalah untuk memenuhi kelangsungan hidupnya, manusia membunuh untuk kepentingan syahwat kekuasaan dan keserakahan. Lalu apa yang sedang terjadi dengan manusia sekarang ini, ketika manusia dengan begitu mudahnya melimpahkan darah sesamanya? Apakah mereka sudah kehilangan nilai kemanusiaan? Mereka dengan begitu mudah menindas sesama manusia. Imam Hussain telah mengorbankan dirinya untuk suatu nilai yang agung, yakni nilai kebenaran yang diredai Allah. Ketika manusia berbunuh-bunuhan dengan begitu mudahnya apakah ini sebagai petanda manusia sekarang ini kembali menjadi primitif?

Sesungguhnya Islam hadir sebagai suatu agama pembebasan. Agama yang membebaskan manusia daripada segala bentuk penindasan sesama manusia. Suatu agama yang menghargai nilai-nilai kemanusiaan. Dalam hal ini tidak ada manusia yang lebih tinggi antara manusia lain kerana identiti kesukuan dan peradaban ekonomi. Islam hadir memberi persamaan hak-hak kemanusiaan. Tidak ada suku yang lebih mulia, tidak ada orang yang lebih mulia kerana etnik dan kekayaan. Kemajmukan bukanlah untuk saling bersengketa tetapi untuk saling mengenali antara satu sama lain.

Peristiwa Karbala adalah perjuangan untuk menegakkan cita-cita ajaran Islam bersama kemanusiaan sejagat. Imam Hussain telah mengingatkan kita bahawa menegakkan yang hak itu bukanlah dengan menunggu kehadiran Imam Mahdi. Tetapi kita sebagai kaum Muslim, diingatkan untuk merebut hak kebenaran itu. Kebenaran tidak akan mengalahkan kebatilan, jika kebenaran itu tidak diperjuangkan.

Dari sekarang umat Islam harus memperjuangkan kebenaran dan hak-hak kaum Muslim di seluruh muka bumi Allah ini.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz44kmZSlmN © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment