ARKIB : 07/09/1998
KL '98 menunggu masa
GIMNAS negara, Carolyn Au Yong
(kanan) dan El-Regina Tajudin yang memburu impian meraih pingat emas gimrama,
mempamerkan contoh pingat yang bakal menjadi rebutan atlet pada KL '98 di Zon
Antarabangsa, Bukit Jalil, semalam.
PERSIAPAN menghadapi Sukan
Komanwel XVI (KL '98) berjalan lancar dan dalam keadaan terkawal, lima hari
menjelangnya temasya berkenaan pada 11 hingga 21 September ini.
Secara keseluruhannya, pusat
utama KL '98 seperti Perkampungan Sukan dan gelanggang-gelanggang pertandingan
cukup memuaskan dan bersedia menghadapi temasya sukan kedua terbesar di dunia
itu.
''Kalau ada masalah pun, ia
hanya masalah-masalah kecil yang telahpun diatasi,'' kata Menteri Belia dan
Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang akhbar di Zon Antarabangsa,
Perkampungan Sukan Bukit Jalil, semalam.
Menurut Muhyiddin, secara
keseluruhannya Jawatankuasa Eksekutif Sukan Komanwel yang bermesyuarat semalam,
berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan.
''Setakat ini tidak ada
sebarang aduan diterima daripada lebih 5,000 kontinjen yang menghuni Perkampungan
Sukan,'' katanya.
Katanya, aduan juga tidak
diterima tentang masalah ketibaan kontinjen di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
''Saya memuji pihak pengurusan
Sukom dan anggota sukarelawan yang bertugas di Perkampungan Sukan dan KLIA
kerana telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan bersungguh-sungguh,''
katanya.
Pada mesyuarat semalam,
Jawatankuasa Eksekutif juga memutuskan raptai penuh upacara pembukaan yang
kedua pada 9 September ini hanya boleh dihadiri oleh jemputan tertentu yang
memiliki tiket percuma.
Raptai pembukaan pertama
diadakah di Stadium Nasional semalam dengan 63,000 tiket diedarkan. Tujuan
raptai diadakan adalah untuk menguji semua sistem yang akan digunakan pada
temasya sebenar.
Muhyiddin juga ingin mengingatkan
kepada orang ramai bahawa tiket untuk menyaksikan raptai diedar secara percuma
dan tidak dijual walaupun tertera RM450 dan RM80 seperti di atas tiket.
''Ia satu kesilapan. Tiket itu
dicetak oleh Ticket Express dan ia mengikut format tiket sebenar. Jadi,
memandangkan masa sudah suntuk, banyak juga butiran di atas tiket yang tidak
dapat ditukar.
''Jadi ingin saya tegaskan
kepada mereka supaya jangan sesekali terpedaya jika ada orang yang cuba menjual
tiket berkenaan.''
Sementara itu, mengulas
mengenai kesukaran yang dihadapi oleh segelintir media ketika melepasi kawalan
keselamatan di Perkampungan Sukan, Muhyiddin berkata: ''Ia tidak dapat
dielakkan.''
Katanya, perkara yang sama
berlaku di mana-mana kejohanan bertaraf dunia seperti KL '98. ''Kita hanya
mengikut peraturan yang ditetapkan,'' katanya.
''Jika pihak media mengikut apa
yang telah ditetapkan, ia tidak akan menimbulkan sebarang kesukaran.''
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4KJrYjZEW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment