ARKIB : 31/08/1998
SEJARAH boleh diibaratkan
seperti cermin pandang belakang sebuah kereta, walaupun kita sedang menuju
hadapan kita perlu juga melihat cermin untuk mengetahui apa yang terjadi di
belakang.
Generasi muda seharusnya
menanam minat mendalam untuk mengetahui sejarah perjuangan tokoh-tokoh negara
yang banyak berkorban untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu serta menuntut
kemerdekaan daripada penjajah British.
Dengan mengenali tokoh-tokoh
seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra dan pemimpi-pemimpin kanan
yang lain, generasi muda juga boleh menyemai semangat cintakan negara.
Seorang veteran UMNO, Datuk
Rosedin Yaakub, 71, berkata, sejarah tokoh-tokoh veteran sebelum merdeka banyak
sekali merakamkan semangat pengorbanan sama ada harta atau pangkat mereka untuk
memastikan kemerdekaan negara tercapai.
Walaupun negara telah mencapai
kemerdekaan dan sedang membangun, tetapi generasi kini seharusnya mengetahui
bagaimana pejuang-pejuang Melayu dahulu bersusah payah berkorban untuk
menjadikan Malaysia seperti sekarang.
Pengalaman dipenjara selama 4
tahun atas dakwaan menentang British tidak pernah mematahkan semangat Rosedin
yang pada ketika itu sanggup menggadaikan nyawa sendiri menentang penjajah.
''Selepas melalui zaman Jepun
semangat untuk menuntut kemerdekaan semakin membara, tambahan pula Indonesia
ketika itu mengadakan konfrantasi menentang Belanda.
''Orang lama punya matlamat
bukan begitu pemimpin parti bekerja sukarela, tak cari kemewahan sebaliknya
kita keluar belanja sendiri untuk menggerakkan parti tak pernah minta itu
ini,'' katanya.
Semangat juang yang ada dalam
diri Rosedin turut dikongsi bersama cucunya, Dzulhaziq Dzulkifli, 11, supaya
cucunya itu tahu betapa besarnya erti kemerdekaan dan perjuangan.
''Saya bangga menjadi cucu
kepada seorang pejuang kemerdekaan, walaupun zaman penjajahan sudah lama
berlalu saya tidak pernah mengabaikan pengorbanan para pejuang kerana tanpa
mereka kita takkan dapat hidup senang,'' katanya.
Anak sulung dari tiga beradik
ini sering berdampingan dengan datuknya untuk mengetahui kisah-kisah di sebalik
perjuangan dulu dan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tun Abdul Razak, Tunku
Abdul Rahman dan Datuk Onn Jaafar.
Datuknya sering mengingatkan
Dzulhaziq supaya jangan leka dengan kemewahan yang dikecapi sebaliknya berusaha
untuk meningkatkan martabat bangsa Melayu dan mempertahankan maruah negara.
Adiknya, Zulhafiz Zulkifli, 8,
takut setiap kali mendengar cerita tentang penderitaan yang pernah dialami oleh
datuknya pada ketika dulu yang terpaksa hidup dalam kesusahan di zaman
penjajah.
''Datuk selalu berpesan agar
saya belajar bersungguh-sungguh dan jadi orang berguna, kalau dah besar nanti
saya mesti jadi orang baik dan jaga martabat bangsa, agama dan negara,''
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4KHvyVAN3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment