Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP
Foto Azrul Edham Mohd. Aminuddin
Lautan manusia memenuhi Arafah untuk menunaikan wukuf pada 8 dan 9 Zulhijah.
“Allah menjadikan hati-hati manusia merindui-Nya dan mewajibkan ke atas hamba-hamba-Nya yang mampu agar mengunjungi Mekah dengan dijanjikan pahala berganda.”
Itulah antara bait-bait kata yang tersemat rapi dalam buku Makkah al-Mukarramah (Kelebihan dan Sejarah) tulisan Dr. Abd Basit Abd. Rahman.
Buku terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. itu cukup terkenal dalam kalangan pengiring dan jemaah yang menunaikan ibadah haji atau umrah di Mekah sejak sedekad lalu.
Tambah menarik, buku tersebut bukan sahaja dijual di kedai-kedai buku tempatan, malah turut dipasarkan di Mekah dan Madinah, di Arab Saudi.
Buku yang memasuki cetakan kedua dan terjual lebih 50,000 naskhah itu cukup popular dalam kalangan jemaah tempatan luar negara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.
Penulisnya, Abdul Basit, 50, memberitahu, buku yang dibahagikan kepada sembilan bab itu dihasilkan selepas terdetik rasa hati untuk mengenali Tanah Haram secara terperinci.
Sambutan
Ketika itu, beliau sedang melanjutkan pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Madinah (UIM) dalam jurusan Syariah.
Menurut beliau, terdapat juga masyarakat tempatan yang memintanya menghasilkan buku mengenai Mekah selepas kejayaan buku Madinah Munawwarah (Kelebihan dan Sejarah).
“Sewaktu menetap di Madinah pada penghujung tahun 90-an, saya menulis sebuah buku mengenai sejarah Madinah dan mendapat sambutan menggalakkan.
“Selepas itu, lahir keinginan untuk menulis sebuah buku mengenai Mekah. Tambahan pula ketika itu, tidak ada buku rujukan khusus mengenai sejarah Mekah,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di Putrajaya baru-baru ini.
Disebabkan kesibukan menulis tesis PhD, rancangan itu tertangguh sehingga terbit beberapa buah buku berkaitan Mekah dalam bahasa Arab, Inggeris dan terjemahan dalam bahasa Indonesia.
Hasil pengamatan anak kelahiran Kuala Krai, Kelantan itu masih banyak bahan dan cerita yang tidak dimuatkan dalam buku-buku tersebut.
Justeru itu, pada musim cuti tahun 2003, beliau mengambil keputusan untuk tidak pulang bercuti ke Malaysia, sebaliknya mencari dan mengumpul bahan-bahan berkaitan Mekah.
“Hampir setahun, saya dan beberapa graduan UIM yang baru menamatkan pengajian ketika itu membuat kajian dan mengumpul bahan-bahan untuk buku ini.
“Sebolehnya, saya ingin memberikan maklumat sahih dan jelas kepada pembaca. Saya cuba memuatkan ulasan-ulasan daripada para ulama,” jelas pensyarah di Jabatan al-Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan itu.
Menurut Abdul Basit, antara kandungan yang dimuatkan dalam naskhah setebal 272 muka surat itu ialah sejarah Tanah Haram, sempadan dan kelebihan dan hukum berkaitan Mekah.
Jelas bapa kepada enam cahaya mata itu, buku tersebut menceritakan secara terperinci mengenai kiblat utama umat Islam itu untuk pengetahuan jemaah.
“Mekah ialah tempat istimewa di sisi Allah SWT. Terdapat pelbagai sejarah menarik yang perlu diketahui oleh jemaah haji dan umrah.
“Pembaca juga berpeluang mengetahui dengan lebih jelas kelebihan dan larangan semasa berada di Tanah Haram. Contohnya, adab tawaf dan solat di Mekah kerana masih ramai yang memandang remeh isu berkenaan,” katanya.
Pengkaji Arab Saudi
Bagi mendapat gambaran jelas mengenai sempadan Tanah Haram, Abdul Basit telah berjumpa sendiri dengan salah seorang pengkaji terkenal di Arab Saudi, Dr. Abdul Malik Abdullah.
Beliau merupakan individu yang dipertanggungjawabkan mengenal pasti kedudukan tanah sempadan Tanah Haram seperti tercatat dalam tesisnya bertajuk Al-Haram al-Makki al-Syarif wa al-A’lam al-Muhitha bihi.
“Mekah semakin berkembang pesat. Jadi, kedudukan batu tanda sempadan banyak yang hilang.
“Jadi, saya terpaksa merujuk kepada hasil tesis Abdul Malik. Keluasan ini penting untuk diketahui kerana ia berkait rapat dengan beberapa hukum khas,” ulasnya.
Buku Makkah al-Mukarramah itu turut menceritakan secara ringkas tentang pembinaan dan sejarah Kaabah, Hajarulaswad dan Makam Nabi Ibrahim.
Turut dikupas ialah sejarah dan kisah menarik yang berlaku di al-Masya’ir (tempat-tempah ibadah haji) seperti Arafah, Muzdalifah dan Mina serta perkara-perkara berkaitannya.
Walaupun ia merupakan lokasi popular dalam kalangan jemaah, namun masih ramai yang tidak mengenali sejarahnya dengan lebih dekat.
Misalnya, kisah-kisah sejarah yang pernah berlaku di Arafah ketika zaman Nabi Adam hingga Rasulullah SAW.
Diceritakan dalam buku tersebut bahawa Arafah pernah menjadi saksi pertemuan pertama Nabi Adam dan Hawa di bumi. Ia juga merupakan tempat Rasulullah SAW menyampaikan khutbah penting kepada lebih kurang 144,000 manusia.
“Biasanya, sewaktu jemaah menunaikan wukuf (berdiam diri atau berhenti) di padang Arafah pada 8 dan 9 Zulhijah. Kebanyakan jemaah yang saya lihat hanya sekadar melawat dan menganggap ia tidak ubah seperti bukit-bukit lain.
“Dengan mengetahui kisah-kisah ini, jemaah automatik berasa insaf dan sedar bahawa di sinilah sejarah penyebaran Islam bermula. Biasanya, jemaah yang tahu kisah ini akan mengalirkan air mata ketika di Arafah,” ujarnya.
Abdul Basit yang aktif menyampaikan ceramah dan kuliah di seluruh negara turut memaklumkan, beliau melalui pelbagai cabaran getir dalam mengumpul maklumat tepat mengenai Arafah.
Salah satunya ialah mengenal pasti kedudukan tempat Baginda menyampaikan khutbah sebelum mengangkat tangannya ke langit sambil berkata, “Ya Allah! Saksikanlah.”
Katanya, beliau beberapa kali terpaksa ke Arafah bagi menjejaki seorang individu yang dipercayai penduduk asal di bukit tersebut.
Hasil bantuan penduduk sekitar, Abdul Basit akhirnya dipertemukan dengan lelaki tua itu dan dia terus mengajukan persoalan tersebut.
“Wallahu’alam, itulah jawapan yang keluar dari mulut lelaki tua tersebut,” jelas Abdul Basit betapa sukar dan mencabarnya mencari maklumat yang tepat untuk menyiapkan buku tersebut.
Buku berharga RM30 itu turut memuatkan mengenai sejarah masjid-masjid di Mekah termasuk Masjid Baiah al-Aqabah, Jin, Syajarah, Hudaibiyyah, al-Rayah, al-Ji’ Ranah dan al-Tan’im.
Sejarah
Setiap cerita tersebut turut dilengkapi dengan peta dan gambar untuk memudahkan jemaah menjejaki dan melawatnya.
Menariknya, buku tersebut disyorkan oleh Tabung Haji kepada para jemaah haji dan umrah yang bakal menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Pengurus Besar (Bimbingan Haji), Lembaga Tabung Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, jemaah perlu sedar bahawa pemergian ke Tanah Suci bukan sekadar menunaikan ibadat tetapi perlu mengetahui sejarah Mekah itu sendiri.
Katanya, ini membolehkan setiap jemaah menghayati ibadat yang dilakukan sekali gus memperoleh haji mabrur.
“Falsafah haji dapat dihayati menerusi kajian secara mendalam mengenai keadaan dan suasana di Tanah Suci. Saya harap pembaca mendapat keinsafan bahawa Tanah Suci perlu dijaga dan dihayati oleh umat Islam,” jelasnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0912&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4JzfonFJB Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment