TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM dan
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ismail Karim turut bersama pemain dan pegawai
JDT meraikan kejayaan memenangi Liga Super selepas acara perarakan berakhir di
Dataran Bandaraya Johor Bahru , semalam. (Gambar kecil) Tunku Ismail mengucup
trofi Liga Super selepas majlis penyampaian setelah JDT menumpaskan TFC II di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU 25 Sept. – Kejayaan
pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merangkul kejuaraan Piala Super tiga tahun
berturut-turut diraikan kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri Dataran
Bandar Raya Johor Bahru di sini malam tadi.
Kebanyakan penyokong mula
membanjiri kawasan dataran sejak petang dan menyaksikan perlawanan antara JDT
dan Terengganu FC (TFC) II yang disiarkan menerusi layar skrin gergasi.
Sebahagian daripada penyokong
juga dilihat turut menunggu di sepanjang jalan yang menjadi laluan perarakan
pemain-pemain dan staf kejurulatihan JDT menggunakan bas dua tingkat.
Sebelum perarakan itu,
penyerahan trofi Liga Super 2016 kepada JDT dilakukan oleh Ketua Pegawai
Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin
Ramalingam kepada Presiden Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Tun
Aminah Sultan Ibrahim di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Pemain-pemain dan staf
kejurulatihan JDT kemudiannya diarak dari stadium melalui jalan-jalan utama di
bandar raya ini seperti di hadapan pejabat Bomba Larkin, pejabat Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) lama, Jalan Tun Razak, City Square sebelum membuat
pusingan U ke Jalan Wong Ah Fook.
Perarakan itu turut melalui
hadapan Hotel Tropical Inn, Jalan Trus, Kotaraya, Jalan Ibrahim sebelum membuat
pusingan U ke Jalan Tun Dr. Ismail, Lot 1, Hospital Sultanah Aminah dan
kemudiannya membuat pusingan U di hadapan Gerbang Istana Bukit Serene dan
berakhir di Dataran Bandar Raya Johor Bahru.
Pemilik JDT, Tunku Ismail
Sultan Ibrahim dalam ucapannya melahirkan kesyukuran serta berterima kasih
kepada semua pihak khususnya pemain, staf kejurulatihan serta Tunku Tun Aminah
dan juga isteri Che Puan Khaleeda Bustamam.
“Saya juga ingin mengucapkan
setinggi-tinggi terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor atas
semua sokongan baginda terhadap projek bola sepak JDT.
“Terakhir sekali, saya ingin
mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana sokongan anda sejak 2013 amat
bermakna, bukan sahaja kepada saya tetapi kepada seluruh Bangsa Johor dan
pasukan bola sepak JDT,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan
Safiq Rahim dalam ucapannya melahirkan rasa terima kasih kepada Tunku Ismail
yang selama ini banyak memberi motivasi dan nasihat sehingga pasukan itu
mencapai banyak kejayaan.
“Saya berharap agar Tunku
Mahkota Johor akan sentiasa ada dalam Persatuan Bola Sepak Negeri Johor hingga
generasi akan datang.
“Tidak lupa juga kepada semua
penyokong yang menjadi pemain ke-12. Terima kasih kerana sentiasa menyokong
kami ketika kami jatuh dan bangun, ketika kami di atas atau di bawah,” katanya.
Kemuncak sambutan pada malam
itu dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api dan tamat kira-kira pukul 12.30
tengah malam.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/10-000-penyokong-sertai-sambutan-rai-kemenangan-jdt-1.387150#sthash.PcQZ1oxU.dpuf
No comments:
Post a Comment