Ad

Tuesday 13 September 2016

Sejarah Singapura

ARKIB : 04/08/1998
DESAKAN Singapura supaya Pusat Pemeriksaan Imigresen Kastam dan Kuarantin (CIQ) Malaysia di Tanjong Pagar dipindahkan ke Woodlands, seperti yang sedang hangat diperkatakan sekarang benar-benar menyentap maruah Malaysia sebagai negara berdaulat.

Walaupun pajakan tanah itu berjalan untuk 999 tahun, tetapi tindakan Singapura itu seolah-olah mahu menghalau Malaysia dengan menggunakan fasal dalam perjanjian itu sendiri. Sebuah perjanjian yang mengikat kedua-dua pihak sepatutnya dihormati dan hanya akan dibubarkan jika kedua-dua pihak bersetuju.

Pihak Malaysia yang membekalkan Singapura dengan air mentah dan membenarkan tanah-tanah di Johor dibeli oleh rakyat Singapura, tidak pernah membuat tindakan yang boleh mengganggu kepentingan Singapura seperti yang telah dipersetujui dalam mana-mana perjanjian yang dibuat sejak dahulu sehingga sekarang.

Malaysia sentiasa menunjukkan sikap setia kawan yang cukup tinggi bukan sahaja kepada Singapura tetapi juga kepada negara jirannya yang lain, terutama dalam menjaga kepentingan ASEAN sebagai sebuah organisasi ekonomi, budaya dan kerjasama serantau.

Oleh itu, untuk menjaga kestabilan politik serantau, Singapura patut lebih bertimbang rasa dan menjaga integritinya sebagai negara bertamadun. Malah, Singapura, sebagai adik kandung Malaysia yang dilepaskan untuk berdiri sendiri di rantau Kepulauan Melayu ini, patut sekali menggunakan hubungan sejarah, geografi, budaya, bahasa dan demografi yang telah dibentuk oleh sejarah, dalam tindakannya kepada Malaysia. Singapura tidak boleh menghakis kesemua hubungan itu dengan begitu sahaja tanpa memikirkan implikasinya untuk jangka panjang.

Temasik adalah nama asal Singapura dibentuk dari perpecahan kerajaan Melayu Sri Wijaya. Ia ditukar nama Singapura kerana kehebatan sang Singa sebagai raja rimba Singapura, yang kini terus menjadi lambang Singapura. Setelah dikalahkan oleh Majapahit, kerajaan itu terus berpindah ke Melaka.

Kemunculan Melaka sebagai sebuah empayar terus mengekalkan Singapura, Johor, Pahang, Terengganu, Klang dan Pantai Timur Sumatera sebagai takluknya. Kejatuhan Melaka pada 1511, membangkitkan Johor Lama sebagai pusat kerajaan Melayu; ia kemudian dipindahkan ke Riau-Lingga sebagai penempatan terakhir serpihan kerajaan Melaka, Singapura dan Johor tetap menjadi jajahan taklukannya.

British membeli Singapura daripada Sultan Hussein Shah, raja bagi Johor dan Singapura, setelah empayar Melayu Riau-Lingga dipecah dua oleh British dan Belanda melalui Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1874.

Dengan pendudukan British di Semenanjung Tanah Melayu pada 1874 dan seterusnya, Singapura dijadikan pusat pentadbiran British bagi Semenanjung Tanah Melayu. Hanya pada tahun 1946, British memecahkan Singapura sebagai satu unit politik bebas dari Persekutuan Tanah Melayu. Namun, pada tahun 1963, Singapura sekali lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Singapura sebenarnya terhutang budi kepada Malaysia di sepanjang usia kewujudan negara itu sebagai sebuah negara merdeka. Singapura tidak akan muncul sebagai sebuah negara merdeka tanpa memasuki Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1963, di atas dorongan dan tajaan British. Persekutuan Tanah Melayu pimpinan Tunku Abdul Rahman telah diminta oleh British supaya mengambil Singapura sebagai rakannya dalam sebuah gabungan atau Persekutuan British telah menggunakan alasan keselamatan politik Singapura dari ancaman komunis sebagai umpan untuk memujuk Tunku Abdul Rahman.

Kata Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom di Kuala Lumpur G.W. Tory: ''I agree entirely with the recommendation of the Conference that the United Kingdom Government should accept as their aims the policy of working towards a political association between Malaya, Singapore, and the North Borneo Terrotories.

In my view, the best hope for stability and successful resistence to Communist encroachment in South East Asia in long term lies in Malaya, and in the continuation of strong and friendly Government in Malaya lies the best prospect of maintaining Commanwealth influence in the area.

I believe Mr. Lee Kuan Yew himself puts it no less-that Singapore, if deprived of hope of independence through merger with the Federation, will gradually move to left and thus become increasingly a security danger to Malaya.

Unless therefore we prepared to contemplate maintaining for ever both our position of military strength and our residual rights over external affairs and external defence in Singapore, as I know the Tunku in his present mood would wish us to do so, we ought in our own interest to be actively seeking some means of 'containing' Singapore which would both satisfy Singapore's constitutional ambition and restrain her from dangerous political development.

The association of Malaya, Singapore and the Borneo Territories to which the Inter-Territorial Conference has, referred offers the only obvious solution to this problem. (CO1030/978, Proposed State of Greater Malaysia, 54/4/01/Part B, Office of High Comissioner For The United Kingdom, Kuala Lumpur to Secretary of State for Commonwealth Relations, 1st. December 1960).

Petikan ini jelas menunjukkan beberapa perkara penting. Namun yang paling penting ialah ada agenda politik untuk menyelamatkan Singapura dan parti Parti Tindakan Rakyat (PAP) daripada pengaruh golongan radikal dan unsur komunisme yang dikatakan sedang berkembang di Singapura. Unsur-unsur radikal dalam PAP telah mencabar kepimpinan Lee Kuan Yew.

Tunku telah dapat diyakinkan oleh Lee Kuan Yew bahawa percantuman Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu adalah langkah terbaik untuk menyekat pengaruh komunis daripada berkembang dan menguasai kerajaan Singapura yang merdeka. Lee Kuan Yew bimbang keadaan ini akan meletakkan Persekutuan Tanah Melayu dalam keadaan bahaya ancaman Komunis. ''If the mighty United States could not deal with a communist Cuba in the Carribean, it is difficult to see how the small Federation could cope with independent Communist Singapore on its very doorstep. A batik curtain would be too flimsy, too permeable, too inflammable... the British could not hold longer'', kata seorang pengkaji (Mohamamed Nordin Sopiee, From Malayan Union To Singapore Separation, UMP, Kuala Lumpur, 1974, hlm. 138).

Rancangan untuk menggabungkan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu ini telah dibuat sebagai langkah pertama British sejak awal tahun 1960 lagi apabila perancangan dibuat untuk British melepaskan tanggungjawab politiknya di rantau ini.

Pujukan kepada Tunku Abdul Rahman untuk menerima Singapura sebagai adiknya dikemukakan kepada Tunku dalam mesyuarat Perdana Menteri Commonwealth pada bulan Mac 1961. Ini dilakukan dengan baik; bagaimanapun Tunku Abdul Rahman menolaknya kerana bimbangkan jumlah penduduk Cina Singapura akan mengatasi jumlah orang Melayu apabila kedua-duanya disatukan. Ini akan memberi implikasi yang buruk ke atas kedudukan politik Tunku Abdul Rahman sendiri, yang sentiasa bergantung kepada undi orang Melayu.

Kata perisik British:

''The Tunku has now recognised that Singapore's separation from the Federation is in some ways more dangerous than merger with it. Nevertheless, the problem of Chinese numerical superiority remains. The Tunku has found his solution to it by making merger with Singapore conditional upon merger also with Borneo territories.

''It was essential to solve this problem because the Tunku reckons that the prospect of losing Malay predominance would be fatal to his position with the Malay electorate the PIMP, whose political fortunes are on the wane, would gladly seize any opportunity of attacking him on the ground of his endangering the Malays' present position in the Federation.

If they succeeded, not only would his plan for Malaysia probably fail, but his political position in the federation might be endangered and with it the chances of achieving a multi-racial Malaya free from communism.'' (CO1030/987, Proposed State of Greater Malaysia, 59/4/13, Part M.

Tunku telah menolak percantuman dengan Singapura; sebaliknya telah meminta Sarawak dan Borneo Utara serta Brunei dimasukkan ke dalam Persekutuan Malaysia. Bagi Tunku, 6.82 juta penduduk Persekutuan ketika itu akan bertambah kuat dengan tambahan 1.25 juta penduduk bumiputera Sarawak dan Borneo Utara. Singapura mempunyai 1.63 juta penduduk 90 peratus adalah keturunan Cina.

Dengan dasar kerakyatan yang begitu terbuka, Tunku percaya jumlah orang Melayu dan bumiputera akan menjadi sama rata dengan bukan Melayu.

Dengan dasar diplomatik British yang begitu hebat dan ketegasan Tunku terhadap gabungan dengan jajahan takluk British di Borneo sebagai seimbang penduduk Malaysia, Malaysia telah ditubuhkan.

Walaupun terdapat bantahan politik, diplomatik dan ketenteraan daripada Revolusi Brunei, Indonesia, Filipina, Parti Komunis China dan Rusia, tetapi dengan sokongan British dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.

Apa yang jelas di sini ialah bagaimana Singapura telah menggunakan British untuk memujuk Tunku supaya bersatu dengannya bagi memudahkan kemerdekaan Singapura. British sendiri tidak bersetuju dengan kemerdekaan secara persendirian oleh Singapura kerana Pertubuhan Pertahanan Asia Tenggara (SEATO) yang berpangkalan di Singapura sangat mustahak bagi menjaga keselamatan kepentingan British di rantau ini.

Perjanjian Pertahanan Malaya dan British 1957 dalam kerangka pertahanan Commonwealth juga akan dipertahankan bersama-sama kepentingannya dalam SEATO, untuk tempoh 25 tahun lagi.

Kata seorang pegawai kanan British:

''The United Kingdom Government have a constitutional responsibility for Singapore and the Borneo Territories and for guiding their future as far as practicable in the direction of the agreed aim for all United Kingdom dependent territories of full self government within Commanwealth.

In the long run the political stability and prosperity of the area is the best if not the only guarantee against subersion by Communist movements and outside aggression. We have political interests and strategic obligations connected with the defence of Malaya, Australia, New Zealand and Hong Kong, the protection of our cummunications with these countries and our obligations to SEATO.

The United Kingdom also has important economic interests in the region.'' (CO1030/980, Proposed State of Greater Malaysia, 59/4/01, part D, Comissioner General For South East Asia, Singapore, to Ian Mac-Leod, M.P., 27th June 1961).

Dengan itu pertimbangan British dan desakan Singapura telah memaksa Tunku Abdul Rahman membentuk Malaysia walaupun ditentang oleh parti-parti pembangkang dalam negeri dan kuasa-kuasa luar.

Pihak Singapura telah menggunakan masalah dalamannya dan ancaman komunis untuk mendapatkan kemerdekaannya melalui percantuman dengan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.

Dengan menggunakan kestabilan politik, keramahan politik dan hubungan sejarahnya dengan negara ini, Singapura telah cuba mendapatkan kemerdekaan negaranya. Walaupun, Singapura telah disingkirkan dari Malaysia kerana perbezaan kepentingan dan pandangan politik, namun ternyata Persekutuan Tanah Melayu telah menjadi batu loncatan untuk Singapura mendapatkan kemerdekaan.

Inilah sumbangan Persekutuan Tanah Melayu/Semenanjung Malaysia yang terbesar dalam sejarah Singapura.

Mahu tidak mahu, Singapura tidak dapat melenyapkan ingatan itu, walaupun sejarahnya hanya dimulakan pada tahun 1965 dan mengikis segala hubungannya dengan tamadun Melayu sebelum itu. Memandangkan jasa Semenanjung Malaysia yang begitu besar kepada kemerdekaan Singapura, ia patut lebih bertimbang rasa dalam tindakannya.

Malaysia tentunya merasa kecewa dengan sikap Singapura yang tidak menghargai sikap tolak ansur Malaysia dalam beberapa isu dan tindakan Singapura yang telah menyinggung Malaysia sebagai jirannya yang paling dekat. Malaysia menerima alasan Singapura terhadap pencerobohan udara Malaysia beberapa tahun lalu.

Malaysia merundingkan secara diplomatik soal Pulau Batu Putih, Malaysia meminta dipertimbangkan semula keputusan Singapura yang membekukan pembayaran balik dari Tabung Simpanan Pusat (CPF) rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan Malaysia sanggup menerima malu kerana pendedahan Singapura terhadap penipuan sijil cuti sakit rakyat Malaysia di Singapura. Semuanya ditelan oleh Malaysia walaupun kadang-kadang ia memperlihatkan kelemahan kita sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat.

Mungkin kerana itulah agaknya Malaysia terus dihujani dengan berbagai tindakan Singapura. Singapura terus mengambil kesempatan daripada kelembutan sikap Malaysia. Akan berakhirkah penghinaan ini?

Oleh: DR. RAMLAH ADAM

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4KCqGRBPz © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment