Ad

Wednesday, 14 September 2016

Johor DT berdepan laluan mudah

 
JOHOR DT diramal mampu melangkah ke final Piala AFC musim ini selepas menampilkan aksi bertenaga sejak daripada saingan peringkat kumpulan lagi.

PELUANG skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk mengulangi pencapaian musim lalu pada kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016 nampak cerah.

Skuad yang mendapat jolokan Harimau Selatan itu semakin hampir untuk merealisasikan hasrat tersebut selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan kelab Hong Kong, South China pada aksi suku akhir pertama di Stadium Mongkok, Hong Kong kelmarin.

Juara Piala AFC 2015 itu hanya memerlukan keputusan seri pada aksi kedua di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin pada 20 September nanti kerana memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan.

Skrip tahun ini nampak sama seperti tahun lalu kerana skuad kendalian Mario Gomez turut berdepan pasukan yang sama pada saingan suku akhir.

Tetapi, keputusan musim lalu agak berbeza kerana Johor DT menang besar 3-1 pada aksi di tempat lawan selepas seri 1-1 pada suku akhir pertama di Larkin.

Jika berjaya melepasi halangan di peringkat suku akhir musim ini, Johor DT bakal berdepan pemenang antara FC Bengaluru (India) dan Tampines (Singapura) di peringkat separuh akhir nanti.

Dua pasukan yang mereka bakal hadapi di separuh akhir itu pernah menjadi mangsa Johor DT pada kempen musim lalu.

Bagi ketua jurulatih Johor DT, Mario Gomez, keputusan seri 1-1 pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Mongkok, Hong Kong kelmarin memberi kelebihan gol kepada mereka.

“Kami masih mempunyai peluang yang cerah untuk melepasi saingan peringkat suku akhir ini. Perkara yang baik adalah kami memiliki kelebihan gol di tempat lawan selain beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan timbal balik, Selasa depan.

“Sekarang masa untuk kembali bekerja,” kata Gomez semalam.

Pada perlawanan kelmarin Johor DT tampil dengan rentak cemerlang pada separuh masa pertama, namun fokus mereka agak terjejas pada separuh masa kedua sehingga membenarkan pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan.

Johor DT membuka jaringan menerusi Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-21 sebelum South China menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Serbia, Nikola Komazec pada minit-minit terakhir perlawanan.

Keputusan tersebut ternyata melegakan Gomez kerana aksi kedua bakal berlangsung di Larkin, yang merupakan gelanggang keramat mereka sepanjang musim ini.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0915&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4KIS1CUdv Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment