Ad

Tuesday, 13 September 2016

Sultan Mansur Syah dibunuh Jawa kafir

ARKIB : 22/07/1998
 
KOMPLEK Makam Nibong di kampung Mangkasar, Pekan. Di sinilah letaknya Makam Sultan Zawal, Sultan Pahang yang mangkat pada tahun 1555 dan di sini jugalah makam Sultan Mansur Shah.

Saya kira kita lebih banyak dapat mengetahui tapak-tapak bersejarah di sekitar Pekan bahkan seluruh negeri Pahang, kerana di Muzium tersebut terdapat penerangan serba sedikit mengenai latar belakang sejarah negeri Pahang bermula dari zaman prasejarah hinggalah zaman kemerdekaan.

Saya tertarik untuk mengkaji beberapa buah makam lama yang terdapat di Kuala Pahang dan juga di sekitar bandar Pekan, di mana saya dapati ada tapak-tapak bersejarah yang belum dikenal pasti dengan jelas.

Antaranya ialah Kompleks Makam Nibong yang terletak di Kampung Mangkar yang berdekatan dengan bandar Pekan.

Menurut catatan sejarah Pahang di Makam Nibong itulah dimakamkan Almarhum Sultan Zainal Abidin, sultan yang memerintah Pahang dari tahun 1530 hingga tahun 1555.

Di zaman dulu makam Nibong itu disebut Makam Tembuni. Di kompleks makam itu ada lebih kurang tujuh buah makam yang nisannya menggunakan batu Aceh, iaitu batu Aceh jenis yang digunakan pada abad ke-15 hingga abad ke-16.

Di Kompleks Makam Nibong itu juga dipercayai terletaknya makam Sultan Mansur Syah, iaitu putera Sultan Zainal Abidin yang memerintah Pahang selepas kemangkatan ayahandanya.

Makam yang lain-lain hampir tidak dikenal pasti, kerana tidak terdapat sebarang tanda nama di nisan masing-masing.

Dalam sejarah Pahang ada menyebut bahawa Sultan Zainal Abidin yang memerintah Pahang sejak tahun 1555 itu telah mangkat pada tahun 1560 dan almarhum itu disebut 'Marhum di Bukit', kerana dimakamkan di atas sebuah bukit kecil yang juga dikenal sebagai Makam Nibong, kerana ada pohon nibung yang tumbuh di sekeliling bukit kecil tersebut.

Dalam sejarah Pahang pada makam itu juga disebut Makam Tembuni.

Bagaimana nama itu diperoleh tidak pasti namum, menurut cerita-cerita lisan daripada penduduk tempatan, perkataan tembuni itu timbul kerana di sekeliling bukit itu merupakan tempat menanam tembuni yang lahir bersama bayi, lantas tempat itu disebut Makam Tembuni.

Ada cerita lisan lain pula yang menyebut, bahawa di atas bukit itulah seorang perempuan yang sedang menanam tembuni telah ghaib dan tidak dapat dikesan, lalu tempat itu disebut tembuni.

Sultan Mansur Syah II, iaitu Sultan Pahang ke-8 daripada zuriat Kesultanan Melaka itu yang memerintah Pahang dari tahun 1555 hingga tahun 1560 adalah putera Sultan Zainal Abidin, Sultan Pahang ke-7.

Baginda beristerikan Raja Fatimah anak Sultan Alaudin Riayat Syah II, Sultan Johor beranakkan Raja Putih atau nama timang-timangannya Puteri Kecil Besar dan seorang lagi bernama Raja Subuh.

Seorang lagi isteri Sultan Mansur Syah ialah Puteri Bakar anak Raja Terengganu, berputerakan Raja Jalal, Puteri Tengah dan Puteri Dewi. Baginda juga mempunyai seorang anak angkat iaitu Raja Abdul Kadir iaitu saudara seayah baginda.

Raja Putih iaitu puteri Sultan Mansur Syah dengan isteri baginda Raja Fatimah telah berkahwin dengan Kasab putera Khoja Ahmad dari Siak beroleh 6 orang anak iaitu Raja Mahmud dan 5 orang puteri.

Seorang anak perempuannya yang bongsu bernama Puteri Bongsu Chendera Dewi, iaitu ibu Raja Mughal dan Raja Mughal inilah yang kemudiannya menjadi Raja Aceh bergelar Sultan Iskandar Sani, yang telah berkahwin dengan anak Sultan Iskandar Mahkota Alam, Raja Aceh yang sangat masyhur itu.

Mengikut Bustanus-Salatin (Sejarah Aceh), Sultan Mansur Syah II, Sultan Pahang itu telah mangkat dalam satu peperangan dengan orang Jawa kafir.

Bustanus-Salatin tidak pula menyebut di mana peperangan itu berlaku, barangkali berlaku di Pahang juga, kerana waktu itu di Pahang telah banyak didiami oleh orang-orang Jawa yang masih beragama Hindu.

Mereka telah lama mendiami Pahang hingga mereka dapat membentuk satu masyarakat Jawa yang masih belum memeluk agama Islam, dan mereka ini selalu disebut oleh orang Melayu sebagai Jawa kafir. Begitulah apa yang disebut dalam Bustanus-Salatin.

Setelah Sultan Mansur Syah mangkat pada tahun 1560, dan disebut Marhum Syahid lalu dimakamkan di Makam Nibong, di sisi makam ayahanda baginda Sultan Zainal Abidin.

Raja Fatimah iaitu janda baginda telah balik semula ke Johor dan tinggal di istana ayahandanya di Johor Lama. Tidak lama kemudian Raja Fatimah berkahwin pula dengan Raja Umar, anak raja di Pahang, Raja Umar akhirnya menjadi Sultan Johor.

Anak Raja Fatimah dengan suaminya Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Raja Kasab, juga bersemayam di Panchor, Johor. Mangkat di situ dan ada makamnya hingga sekarang.

Oleh: N.A. HALIM

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4K9Gb4Xkt © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment