FADHILUL IZMEL
ISHAK |
16 September 2016 12:12 AM
AFANDI HAMZAH
(kanan) berbincang sesuatu dengan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd.
Amin ketika Kongres Tahunan FAM ke-52 di Petaling Jaya, Selangor semalam.
UTUSAN/Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR 15
Sept. - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah menyifatkan tuduhan penyelewengan kuasa serta korupsi terhadap badan
induk tersebut sebagai serangan ke atas beliau sendiri secara peribadi.
Tengku Abdullah,
dalam ulasan pertamanya secara terbuka berhubung isu pemacu pena kontroversi,
jelas berasa begitu kecewa dengan pertuduhan yang dilemparkan terhadap FAM yang
dikaitkan dengan isu ketirisan dan salah urus.
“Saya mengakui,
kita bukan badan sukan yang bebas daripada segala kelemahan dan saya sedar
masih banyak perkara yang perlu kita lakukan dalam semua aspek. Saya masih lagi
berpandangan kita perlu melakukan banyak perkara dalam apa jua sekali pun.
“Lantaran itu,
semasa saya menawarkan diri untuk memimpin FAM ketika Kongres Pemilihan yang
lepas, saya telah sasarkan beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan sama ada
dengan kadar segera atau berperingkat.
“Saya sedar
tindakan itu tidak mungkin dipersetujui semua orang, mungkin ada yang menyokong
dan ada yang sebaliknya. Itu semua saya sudah bersedia untuk menerimanya.
“Tetapi apabila
diserang dan dituduh sebagai tidak beramanah itu sudah berbeza, adakalanya saya
lihat ia sebagai perkara yang terlalu peribadi.
“Sepanjang tempoh
saya bersama FAM, kita antara badan sukan yang pertama membawa masuk juruaudit
luar untuk memeriksa FAM. Lebih daripada itu, kita juga membawa masuk FIFA
(Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) untuk melaksanakan pemantauan, proses
pengauditan dalaman dan sebagainya,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan
oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Afandi Hamzah ketika Kongres FAM ke-52, di
sini hari ini.
Tengku Abdullah
tidak hadir ke kongres tersebut kerana berada di luar negara.
Sementara itu,
Afandi yang ditanya sama ada FAM bakal mengambil tindakan undang-undang seperti
saman malu dan sebagainya berkata perkara itu akan dibincangkan selepas badan
induk tersebut menerima laporan dan pemacu pena yang didakwa mengandungi
maklumat berkaitan korupsi, ketirisan dan salah urus FAM daripada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kami masih belum
membuat sebarang keputusan mengenainya kerana masih menunggu laporan daripada
SPRM. Kami tidak tahu apa yang terkandung dalam pemacu pena berkenaan. Sebaik
sahaja kami terima, kandungan pemacu pena itu akan dibentangkan dalam
mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif nanti,” katanya.
Pada 18 Julai
lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa bahawa beliau
memiliki pemacu pena yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai penyelewengan
dan salah laku badan induk bola sepak negara itu sepanjang tempoh 30 tahun.
Malah, sebahagian
kecil daripada maklumat yang dikatakan bukti berlaku salah urus dalam FAM dan
berkemungkinan terkandung dalam pemacu pena itu kemudiannya dimuat naik ke
dalam akaun Facebook Johor Southern Tigers milik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT)
kepunyaan Tunku Ismail.
Tunku Ismail
kemudian menyerahkan peranti tersebut kepada Khairy Jamaluddin pada 26 Ogos
lalu sebelum Menteri Belia dan Sukan itu membuat keputusan untuk memberi pemacu
pena berkenaan kepada SPRM pada 2 September untuk disiasat.
Namun, SPRM
mengesahkan mereka mendapati pemacu pena itu tidak mengandungi sebarang unsur
rasuah mengikut Akta SPRM 2009 seperti yang diperkatakan, hanya beberapa hari
selepas Tunku Ismail terlebih dahulu mengeluarkan kenyataan yang sama.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tengku-abdullah-8232-luah-kekecewaan-1.383105#sthash.xYyVSYgY.dpuf
No comments:
Post a Comment