ANTARA 150 veteran yang hadir.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my
Selepas 30 tahun tidak bertemu, hanya tangisan kegembiraan dan pelukan erat dalam kalangan veteran Artileri 1, Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kem Terendak, Melaka, menjadi cara terbaik untuk menzahirkan perasaan masing-masing.
Bermula daripada perbincangan menerusi grup aplikasi WhatsApp, Veteran 1st Artileri, hasrat mengadakan pertemuan dengan rakan seperjuangan akhirnya berjaya direalisasi dengan penganjuran Majlis Reunion Bekas 1 Artileri pada 23 Julai lalu.
Perjumpaan yang berlangsung di Kuala Sungai Baru, Melaka itu berjaya mengumpulkan lebih 150 veteran Artileri, malah turut disertai ahli keluarga masing-masing.
Ingin bersemuka
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Majlis Reunion Bekas 1 Artileri, Mejar Nordin M Dahlan, idea tercetus apabila wujud permintaan daripada rakan untuk bersemuka dengan teman lama.
“Ini julung kali kita mengadakan pertemuan selepas masing-masing membawa diri selepas menamatkan perkhidmatan dengan pasukan keselamatan negara.
“Selain bertukar cerita terbaru, menjalinkan kembali hubungan persahabatan yang sudah lama terputus menjadi tujuan paling utama.
“Kita memilih Melaka kerana semua veteran ini berkhidmat di Kem Terendak. Ia adalah kem artileri pertama, meskipun ia bermula di Kajang dan Sungai Besi sebelum ini,” katanya yang turut menahan sebak.
Menariknya, perjumpaan veteran 1 Artileri ini tidak saja dihadiri waris perintis sejak 1950-an, bahkan bekas tentera yang berkhidmat antara 1960-an hingga 1990-an.
Jadikan perjumpaan tahunan
Aktif dalam grup WhatsApp, Nordin berkata mereka mempunyai perancangan untuk menjadikan perjumpaan antara veteran sebagai acara tahunan.
“Oleh kerana ini adalah kali pertama dianjurkan, kita memberi kebebasan kepada rakan untuk bertemu dan bersembang sesama sendiri sambil menjamu selera sempena Aidilfitri.
“Selain itu, kita juga mengadakan bacaan doa tahlil buat rakan seperjuangan yang meninggal dunia.
“Saya juga berharap hubungan yang terjalin antara rakan veteran semua berkekalan hasil pertemuan yang kita anjurkan ini,” katanya mengakhiri perbualan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Ogos 2016 @ 5:04 AM
No comments:
Post a Comment