Ad

Saturday, 17 September 2016

T-Team harap magis terbaik

ZUBIR SULAIMAN
10 SEPTEMBER 2016
T-Team harap magis terbaik
T-Team harap magis terbaik Pemain import T-Team, Dilshod Sharofetdinov bakal menjadi aset utama skuad Titans dalam menggempur benteng pertahanan Felda United pada pertemuan itu nanti.
MESKIPUN bakal berdepan laluan sukar bertemu Felda United pada aksi kedua suku akhir Piala Malaysia 17 September depan namun ia bukan menjadi penghalang buat skuad  T-Team untuk merebut peluang terbaik itu dalam membuktikan kemampuan mereka mara ke pusingan seterusnya.

Apa yang pasti keputusan seri 1-1 ke atas pasukan berstatus kelab itu dalam aksi pertama sebelum ini bakal  menjadi pembakar semangat buat kem kendalian Rahmad Darmawan untuk tampil dengan  aksi yang lebih berdisiplin sekali gus mengulangi kejayaan pernah dilakarkan mereka empat tahun lalu.

Justeru, wakil tunggal pasukan dari Terengganu itu perlu segera melupakan isu  mutu pengadilan perlawanan yang dilihat tidak memihak kepada mereka  untuk membawa bekalan selesa ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka dengan mencari kelebihan gol di gelanggang lawan nanti.

Rahmad yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Indonesia itu mengakui ia bukan perkara mustahil untuk dilakukan sekiranya pemain berjaya mengekalkan komitmen terbaik mereka sebagaimana dibuktikan pada aksi pertama di hadapan penyokong sendiri minggu lalu.

Menurutnya, kem T-Team  bukan sahaja perlu melakarkan kejayaan dengan kelebihan jaringan  tetapi matlamat utama pasukan pada perlawanan itu adalah menyekat skuad kendalian Ifran Bakti Abu Salim daripada melakukan jaringan.

Masih terbuka

Selagi Felda United tidak menjaringkan gol, maka peluang buat kem The Titans untuk melangkah ke saingan separuh akhir  masih terbuka dan mengharapkan setiap pemain yang memikul tanggung jawab penting itu nanti bukan sahaja mampu memberikan aksi  terbaik mereka malah berusaha menyekat kemaraan pasukan The Fighter  sehingga ke wisel penamat.

Melihat kepada kesungguhan dan keazaman pemain ketika aksi pertama 28 Ogos lalu, skuad Titans seharusnya tidak berdepan sebarang masalah dalam melonjakkan prestasi mereka dengan lebih cemerlang dan meraih kejayaan sebagaimana yang diinginkan.

Malah aksi pertemuan saingan Liga Super menentang Felda United, malam ini  wajar  dijadikan medan terbaik  buat skuad Titans dalam memantapkan lagi strategi pasukan khususnya memperkemaskan jentera serangan yang sebelum ini dilihat masih dibelenggu masalah di bahagian penyudah.

Sekiranya, T-Team mampu melakarkan kemenangan pada pertemuan liga itu nanti, maka ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan tekanan buat pemain untuk memperagakan aksi lebih meyakinkan di gelanggang lawan untuk merebut slot ke separuh akhir Piala Malaysia nanti.

Pastinya, ‘magis’ bekas pengendali Persija Jakarta  itu sekali lagi ditagih bagi memastikan persiapan T-Team dapat dilakukan serapi mungkin dengan membawa misi lebih membara untuk melonjakkan nama Titans di prestasi terbaik kempen Piala Malaysia musim ini.

Harapan

Sebagaimana impian skuad T-Team untuk mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia, demikian jugalah harapan penyokong setia The Titans yang begitu meletakkan harapan tinggi melihat pasukan kesayangan mereka mara ke pusingan seterusnya.

Setiausaha Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Terengganu (Ganucyber.net), Hamizul Ishak, 42 mengharapkan  T-Team dapat merebut peluang terbaik itu dengan memberikan aksi terbaik mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.

Katanya, dia yakin dengan kemampuan ketua jurulatih (Rahmad Darmawan) dalam merencanakan strategi terbaik pasukan sebagaimana dibuktikan pada aksi suku akhir pertama tempoh hari.

“Kalau bukan disebabkan mutu pengadilan, pastinya T-Team sudah berjaya membawa bekalan selesa di tempat lawan dan berharap pemain dapat terus fokus dalam memburu kemenangan nanti.

“Jadi pemain perlu lah segera melupakan apa yang berlaku, sebaliknya turun dengan semangat baharu untuk mencipta kebangkitan di Stadium Tun Abdul Razak Jengka,” katanya.

Manakala, Nur Fatiha Ali, 25 turut menaruh harapan tinggi pasukan kesayangannya itu mampu melakarkan kemenangan di gelanggang lawan dan mengharapkan pemain tidak mudah berputus asa sehingga ke wisel penamat.

“Saya yakin sekiranya pemain dapat  bermain sebagaimana sebelum ini tidak mustahil mereka (T-Team) mampu meraih kemenangan.

“Jadi, saya harap peluang keemasan ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh setiap pemain yang bakal menggalas tanggungjawab di dalam padang dengan mempamerkan semangat berpasukan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha, Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC (TFC)  Mohd Farid Shaipullah Mat Said, 30 berkata, selain sokongan daripada peminat setia skuad The Titans, pihak pengurusan tertinggi juga perlu turun padang dalam memberi suntikan semangat kepada pemain.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat akan membantu menaikkan lagi moral pemain yang sebelum ini dilihat sedikit tertekan ekoran isu mutu pengadilan yang tidak memihak kepada pasukan T-Team.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  10 SEPTEMBER 2016

No comments:

Post a Comment