Ad

Friday, 16 September 2016

Najib sempurnakan pecah tanah MRT Laluan SSP

KAMIL MASLIH   16 September 2016 12:46 AM

PUTRAJAYA 15 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah bagi projek laluan kedua Mass Rapid Transit (MRT) iaitu MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (Laluan SSP) sepanjang 52.2 kilometer dan meliputi 37 buah stesen.
Majlis itu berlangsung lima tahun selepas pe­lan­caran laluan pertama, MRT La­luan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) kini hampir siap sepenuhnya dan bakal beroperasi.
MRT Laluan SSP yang sebelum ini dikenali sebagai MRT2 dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022 dan akan menghubungkan Sungai Buloh dan Putrajaya me­lalui Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange (TRX), Ban­dar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Cyberjaya.
Projek bernilai RM32 bilion me­libatkan 11 stesen bawah tanah itu dijangka menampung 530,000 orang penumpang harian apabila siap kelak dan memudahkan perjalanan menghubungkan pusat ban­dar raya Kuala Lumpur dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
Menurut Perdana Menteri, pe­lancaran projek MRT Laluan SSP itu lambang pemodenan Malaysia selain memudahkan perjalanan warga Lembah Klang.

Katanya, laluan baharu itu akan diintegrasikan dengan pe­ngangkutan awam rel sedia ada iaitu KTM Komuter, LRT, Monorel dan Express Rail Link (ERL) selain Kereta api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang ki­ni dalam pembangunan.
“Tidak berapa lama lagi, kita hanya perlukan 30 minit (dari Putrajaya) untuk ke KL (Kuala Lumpur) dan jika kita mahu ke Singapura, hanya 90 minit sahaja. Ini semua bayangan Malaysia pada masa hadapan yang moden,” katanya dalam majlis yang diadakan di tapak kerja Putrajaya Sentral di sini yang bakal menjadi stesen penghujung selatan MRT Laluan SSP.
Dalam majlis pelancaran ter­se­but, Perdana Menteri telah me­ma­kaikan jaket keselamatan dan topi keledar kepada pengendali mesin cerucuk gerek di tapak projek itu dan kemudian membunyikan siren sebagai tanda projek pembinaan dimulakan.
Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ketua Setiausaha Ne­gara yang juga merupakan Pe­ngerusi Mass Rapid Transit Cor­po­ration Sdn. Bhd. (MRT Corp), Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar.
MRT Corp adalah pemilik dan pemaju projek bagi MRT Laluan SSP manakala MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn. Bhd. merupakan rakan pelaksana bagi projek berkenaan.
Dalam pada itu, Najib menyeru para kontraktor dan subkontraktor yang sebelum ini terlibat dalam pembinaan MRT Laluan SBK supaya memanfaatkan pengalaman dan kepakaran sedia ada untuk pembinaan MRT Laluan SSP.
“Kita mesti pastikan projek seperti ini disiapkan mengikut jadual dan mengikut bajet, semua ini mesti dikawal sebaik-baiknya. Kita mesti pastikan tahap kepuasan pelanggan yang tinggi,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mrt-kl-putrajaya-30-minit-1.383261#sthash.TbhDwlOM.dpuf

No comments:

Post a Comment