TOREK SULONG | 31
Ogos 2016 12:15 AM
Wan Omar Wan
Majid (tengah) diapit Wan Abdul Aziz Wan Noh (kanan) dan Kamaruzamani Mohd Zain
(kiri) bersama peserta kayuhan merdeka yang singgah di kediamannya sempena
sambutan Ambang Hari Kebangsaan Ke 59, di Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan,
baru-baru ini.
PASIR PUTEH 30
Ogos - Keperitan dan kesusahan hidup pada zaman sebelum merdeka perlu
didedahkan kepada generasi masa kini agar mereka lebih bersyukur dan mengerti
tentang nikmat kemerdekaan sesebuah negara.
Bekas Ahli
Parlimen Pasir Puteh, Datuk Wan Omar Wan Majid, 82, berkata, kejayaan yang
dicapai oleh negara yang kini menyambut Hari Kebangsaan ke-59 adalah hasil
perjuangan pemimpin terdahulu yang merempuh pahit getir untuk membebaskan
negara daripada belenggu penjajah.
Menurutnya,
pengisian kemerdekaan negara sejak 1957 sehingga sekarang menyerlahkan Malaysia
sebagai negara yang berdaulat di mana keamanan, keharmonian dan perpaduan
sejagat perlu dikekalkan demi kepentingan generasi akan datang yang perlu
merentasi kemajuan bertaraf dunia.
“Saya pernah
melalui zaman belum merdeka yang serba serbi kesusahan. Zaman penjajahan
Inggeris dengan karenah mereka yang mengaut hasil negara dan keperitan zaman
Jepun banyak memberi penderitaan kepada semua rakyat pada masa itu.
“Pada usia 16
tahun saya sudah menjadi guru bermula sebelum Merdeka dengan hanya menggunakan
basikal buruk untuk mengajar di sekolah yang jauhnya melebihi 40 kilometer.
“Namun, demi
untuk menyuntik semangat kebangsaan dan patriotik, cintakan bangsa dan agama
segala jerih payah bertukar menjadi pendorong yang kuat untuk memberi ilmu
kepada orang ramai dan mereka pelu sedar betapa berharganya nilai kemerdekaan
negara,” katanya.
Beliau berkata
demikian ketika menyampaikan ucapan patriotik di hadapan 59 peserta kayuhan
merdeka dalam kalangan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, dekat
sini, yang mengadakan Sambutan Ambang Hari Kebangsaan ke-59 peringkat sekolah
itu, di sini, baru-baru ini.
Konvoi berbasikal
sejauh lima kilometer itu turut singgah di rumah tokoh itu selama satu jama
sebelum menamatkan kayuhan mereka di sekolah tersebut.
Wan Omar adalah
bekas Guru Besar di tiga buah sekolah di daerah ini pernah menyandang jawatan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak (1974, 1978) dan Ahli Parlimen Pasir
Puteh (1986, 1990).
Menurut Wan Omar,
generasi masa kini hanya perlu meneruskan kesinambungan perjuangan pemimpin
negara yang sedia ada dalam memastikan kedaulatan negara terus kekal menerusi
pemikiran yang bijaksana dan matang.
“Dalam usia
remaja pada masa dahulu kebanyakannya sudah matang dan memiliki semangat jati
diri yang kental. Ada hala tuju dalam perjuangan.
“Berbeza dengan
segelintir remaja masa kini pada usia yang sama mereka masih belum berpendirian
dan segelintirnya masih hanyut dengan dunia merempit dan sebagainya. Kita perlu
ubah minda remaja mulai sekarang agar mereka lebih matang,” katanya.
Tambahnya,
formula utama dalam mengekalkan kemerdekaan negara ialah kentalnya semangat
jati diri semua kaum dalam negara ini, nilai kecintaan yang tinggi terhadap
negara, saling hormat menghormati dan setia kepada Raja serta kepimpinan
negara.
- SUMBER-:
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/dedah-perjuangan-sebelum-merdeka-1.376680#sthash.tSoESjD0.dpuf
No comments:
Post a Comment