Ad

Friday, 16 September 2016

Penubuhan Malaysia penuh liku dan cabaran

MOHD. AYOP ABD. RAZID  |  16 September 2016 12:18 AM
TARIKH 16 September 1963 adalah detik bersejarah buat negara ini. Ia menjadi realiti kepada gagasan Malaysia yang dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj yang diiktiraf dan diperakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sebuah negara berdaulat. Idea gagasan Malaysia ini dilontarkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961. Gagasan Malaysia berjaya menggabungkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam satu unit politik yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.
Walaupun, idea penggabungan wilayah pernah dikemukakan oleh Lord Brassey, Pengarah Syarikat Borneo Utara pada 1887 yang mencadangkan kepada British untuk menggabungkan Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak dengan negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat tetapi tidak menjadi realiti. Demikian juga cadangan serupa yang pernah disuarakan oleh Tun Ghazali Shafie pada 1954 dan Tan Cheng Lock pada 1955.
Tunku sebelum mencadangkan penubuhan yang lebih besar pernah menyuarakan cadangan penggabungan Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei. Cadangan itu dikemukakannya dalam persidangan UMNO 1955. Pada 1959, Lee Kuan Yew pula cuba mempengaruhi pihak British untuk menggabungkan Singapura dengan Tanah Melayu. Namun, cadangan itu ditolak Tunku kerana bimbang berlakunya ketidaksamaan atau ketidakseimbangan penduduk. Gagasan Malaysia yang dicadangkan Tunku pada 1961 itu didorong oleh beberapa faktor merangkumi politik, keselamatan, sosial dan ekonomi.
Faktor politik adalah berkaitan usaha menyekat ideologi komunis di Singapura, Sabah dan Sarawak. Ideologi komunis ini sekali gus membawa ancaman kepada keselamatan wilayah terbabit. Komunis menggunakan pendekatan keganasan untuk mencapai hasrat mereka menguasai negeri-negeri terbabit. Faktor ekonomi pula merujuk kepada tujuan memperluas pasaran serta mewujudkan kerjasama serantau dalam bidang ekonomi.
Sementara itu, faktor sosial adalah untuk mengimbangi komposisi kaum, mewujudkan perpaduan kaum, memajukan negeri yang belum membangun, khususnya Sabah dan Sarawak serta melahirkan satu bangsa yang kaya warisan kebudayaan. Selain faktor tersebut, British pula sedang menjalankan dasar dekolonisasi untuk merdekakan tanah jajahan. Untuk menyegerakan kemerdekaan Singapura, Sabah dan Sarawak, British melihat gagasan yang dikemukakan Tunku itu adalah cara terbaik untuk mencapai hasrat tersebut.
Tunku sendiri memulakan lawatan ke Sabah, Sarawak dan Brunei untuk menerangkan konsep dan tujuan penubuhan Malaysia. Perundingan juga diadakan antara pegawai kanan Persekutuan Tanah Melayu dengan Pegawai-pegawai British dari Sarawak, Sabah dan Singapura yang telah membawa kepada pembentukan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) di Singapura pada Jun 1961.
Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Donald Stephan dari Sabah dan mengadakan empat kali mesyuarat. Brunei hanya menghantar pemerhatinya menghadiri tiga mesyuarat terakhir. Akhirnya, dalam mesyuarat terakhir di Singapura, ahli-ahli bersepakat mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold. Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan oleh kerajaan British pada 17 Januari 1962 bertujuan meninjau pendapat sebenar penduduk di Sabah dan Sarawak mengenai cadangkan menggabungkan kedua-dua negeri itu ke dalam Malaysia.
Suruhanjaya itu mendapati lebih 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia. Selain itu, suruhanjaya terbabit turut mencadangkan Perlembagaan Malaysia yang baru mestilah berasaskan Perlembagaan Tanah Melayu 1957. Bahasa Melayu juga dicadangkan menjadi Bahasa Kebangsaan, jaminan terhadap hak dan kedudukan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kedua-dua negeri itu diberikan kuasa menentukan dasar imigresen masing-masing.
Suruhanjaya berkenaan turut mencadangkan pemberian nama ‘Malaysia’ kepada negara baru yang akan dibentuk dan juga penentuan tarikh penubuhan Malaysia. Sebenarnya nama ‘Malaysia’ telah digunakan sejak 1800an lagi dengan merujuk kepada peta yang dibuat oleh Alexander Keith Johnston pada 1845 bertajuk ‘South Eastern Peninsula and Malaysia’.
Penubuhan Malaysia bukanlah sesuatu yang mudah. Ia melalui ranjau dan duri, tumpahan air mata dan darah. Walaupun ramai yang menyokong, namun wujudnya pelbagai anasir yang cuba mempengaruhi rakyat supaya menentang gagasan Malaysia. Cabaran-cabaran getir yang dilalui itu turut melibatkan ancaman terhadap kedaulatan negara yang datang dari dalam dan luar negara.
Di dalam negara, idea pengintegrasian wilayah yang besar mendapat reaksi yang pelbagai daripada parti-parti politik serta penduduk Tanah Melayu dan Singapura. Pas lebih cenderung untuk menerima gagasan Maphilindo dan mendesak supaya isu ini dibincangkan terlebih dahulu. Namun, setelah memahami manfaatnya Pas akhirnya menerima idea gagasan Malaysia. UMNO pula sejak awal-awal lagi bersetuju. Di Singapura, Barisan Sosialis yang berhaluan kiri (dipengaruhi komunis) menentang keras gagasan Malaysia dan menganggapnya sebagai neokolonialisme.
Lee Kuan Yew yang bersetuju dengan idea Tunku itu sangat bimbang dengan pengaruh parti Barisan Sosialis yang semakin berpengaruh di Singapura ketika itu. Jika perjuangan parti sosialis itu berhasil maka ia kejayaan buat komunis. Justeru, untuk mendapatkan reaksi rakyat Singapura maka satu referendum umum rakyat Singapura mengenai penubuhan Malaysia diadakan pada 1 September 1962. Keputusan yang diperoleh ialah majoriti menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan Singapura untuk membuat keputusan mengenai penggabungan itu.
Di Brunei pula tercetus pemberontakan rakyat pada 8 Disember 1962. Mereka membangkitkan isu-isu mengenai kedaulatan Sultan Brunei, isu minyak dan bayaran tahunan. Rakyat Brunei berpendapat penyatuan akan memudaratkan negara dan menggugat kemakmuran Brunei.
Cabaran paling getir datang dari Filipina dan Indonesia yang kuat menentang gagasan Malaysia. Presiden Macapagal membuat pengumuman menuntut hak terhadap Sabah (1962) berdasarkan perjanjian Sultan Jamalul Alam dengan Baron Overbeck. Indonesia di bawah kepimpinan Sukarno pula melihat gagasan Malaysia itu sebagai satu bentuk neokolonisme. Indonesia mengisytiharkan Konfrontasi pada 20 Januari 1963. Slogan ‘Ganyang Malaysia’ telah mencabar kedaulatan negara kerana Indonesia berhasrat menakluki Tanah Melayu.
Oleh sebab kerasnya tentangan kedua-dua negara itu mendorong PBB menghantar satu misi ke Borneo untuk meninjau dan melaporkan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai penubuhan Malaysia. Misi itu mendapati majoriti penduduk di Borneo menyokong gagasan Malaysia. Akhirnya, setelah melalui pelbagai cabaran getir, penubuhan Malaysia dapat direalisasikan dan Perjanjian Malaysia telah ditandatangani pada 9 Julai 1963 di pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House.
Pengisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, dan Sabah. Selain Tunku Abdul Rahman, tiga lagi pemimpin utama dari tiga negeri baru turut hadir iaitu Lee Kuan Yew ((Singapura), Donald Stephens (Sabah) dan Stephens Kalong Ningkan (Sarawak). Pada 9 Ogos 1965, atas faktor-faktor tertentu Singapura mengambil keputusan keluar daripada Malaysia dan menubuhkan negara republik.
Penubuhan Malaysia membawa pelbagai nikmat dan manfaat kepada negara tercinta ini. Antaranya mempercepat kemerdekaan bagi Singapura, Sabah dan Sarawak. Ancaman komunis di Singapura, Sabah dan Sarawak dapat dibendung dan diatasi. Hakikatnya, penubuhan Malaysia adalah pembinaan satu ‘keluarga besar Malaysia’ yang dalam satu wilayah geopolitik, iaitu Persekutuan Malaysia yang mendukung cogan kata yang terkandung dalam Jata Negara, iaitu ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.
PENULIS ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Malaysia

- Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/penubuhan-malaysia-penuh-liku-dan-cabaran-1.383208#sthash.6pxtok91.dpuf

No comments:

Post a Comment