ARKIB : 20/07/1998
RAMAI saudara, kawan dan
kenalan telah kembali ke rahmatullah dalam masa dua tahun lebih sedikit penulis
berada di rantau antaranya bapa saudara isteri penulis, Tun Azmi Mohamad, bekas
Ketua Hakim, kakaknya, Nailah, saudara mara di Kelantan, kawan dan taulan
seperti Tan Sri Zain Azraai, Tan Sri Hamzah Sendut, Datuk Seri Syed Nahar, Toh
Puan Bunny Suffian dan dua minggu lepas Tun Ismail Ali, bekas Gabenor Bank
Negara dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan mendahuluinya ialah
isterinya, Toh Puan Maimunah Abdul Latiff.
Dalam kehidupan prinsip penulis
adalah yang jauh dilihat sekali-sekala manakala yang dekat dilawati. Di mana
dan apa pun penulis cuba sedaya boleh merapatkan hubungan tali persaudaraan dan
persahabatan dengan waris, sahabat, rakan seperjuangan dan kenalan di seluruh
alam.
Penulis sedih dan kini mereka
tinggal dalam kenangan. Semua insan akan menemui ajal akhirnya dan kita
menerimanya dengan penuh iman disertai doa semoga mereka dan roh yang telah
kembali terdahulu lagi dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t. dan mereka diletak
dalam Jannah Adnin.
Tun Ismail Ali telah dilahirkan
pada 16 September 1918 (sama dengan hari kelahiran Malaysia - 16 September
1963) dan telah meninggal dunia berusia 80 tahun pada 6 Julai 1998 sempena hari
Maulud Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang cendekiawan Melayu, seorang Queen's
scholar di Universiti Cambridge (Trinity Hall) sebelum Perang Dunia Kedua.
Beliau juga bekas menteri ekonomi di Kedutaan Besar Malaya di Washington
(1958-60), bekas penolong setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (1948-50),
pegawai ekonomi di Perbendaharaan (1950-53) dan pengawal (Controller) bahagian
perdagangan di Kementerian Perdagangan (1955-57). Allahyarham telah dilantik
timbalan gabenor Bank Negara apabila pulang dari Washington tahun 1960 dan
menjadi gabenor dua tahun kemudian; bumiputera pertama menjawat jawatan
tertinggi itu mengganti seorang Australia, Wilcox, jika ingatan saya tidak
mungkir. Setelah bersara dari Bank Negara beliau dilantik menjadi pengerusi PNB
dan apabila bersara dari PNB dilantik sebagai penasihat sehinggalah kembalinya
ke rahmatullah.
Tidak ramai anak Melayu dulu
dan kini pun yang berpeluang belajar di mahligai kecendekiawanan British dan dunia
Universiti Cambridge dan Oxford. Allahyarham adalah di antara segelintir putera
Melayu yang bermula sepanjang yang penulis mengetahui (tanpa kajian terteliti)
dengan Tunku Abdul Rahman Putra, pelajar sejarah di St. Catharine's College
tahun 1922 dan lulus tahun 1925.
Selain daripada Tunku, Ismail
antara graduan-graduan Melayu dari Cambridge yang masih hidup adalah Tun
Mohamed Suffian Hashim, bekas Ketua Hakim Negara, Profesor Tan Sri Ahmad
Ibrahim, Tun Raja Mohar, bekas penasihat ekonomi kerajaan, Datuk Malik Ali
Merican, bekas ketua eksekutif Arab-Malaysia Bank, Datuk Abdullah Mohamed,
bekas setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Amar Abang Yusof Puteh, bekas
setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak. Di kalangan yang muda pula Harris Hussein
(anak Tun Hussein, bekas perdana menteri) kini seorang eksekutif korporat,
Kamal Badawi (anak Datuk Seri Abdullah Badawi, Menteri Luar), seorang ahli
perusahaan, Mohamed Nazir Tun Razak, timbalan pengerusi eksekutif Bank CIMB,
Adhha Amir Abdullah, seorang pegawai CIMB Merchant Bank (anak penulis), Karim
Raslan (anak Pengerusi Bank Bumiputra pertama Allahyarham Raslan Abdullah).
Karim, seorang peguam dan penulis yang bergiat dalam bidang penulisan dan
persuratan Inggeris dan satu atau dua dozen lagi pemuda dan pemudi Melayu.
Sebelum merdeka hinggalah lewat
enam puluhan peperiksaan sijil sekolah menengah di negara kita dikelolakan oleh
Universiti Cambridge dan tiap bulan Mac keputusan dikeluarkan seluruh negara
tergempar dan menjadi ghairah membaca berita kejayaan anak-anak dan sebahagian
pula muram memikir nasib calon-calon yang gagal. Lulus atau gagal peperiksaan
Cambridge sepertilah lulus atau gagal peperiksaan SPM kini dan sebelum itu, MCE
(Malaysian Certificate of Education).
Ismail, seorang pelajar
cemerlang di Victoria Institution Kuala Lumpur telah memenangi Biasiswa Queen
langsung dihantar ke Cambridge seperti juga Suffian (dari Sekolah Clifford
Kuala Kangsar). Penulis mulai mengenalinya melalui Tun Razak dalam tahun 1965
waktu penulis berumur 28 tahun bertugas sebagai setiausaha politik kepada Razak
dalam tahun ketiga. Ismail tatkala itu juga dalam tahun ketiga sebagai Gabenor
Bank Negara.
Ismail amat meminati pemuda
pemudi Melayu yang dianggapnya pintar, diambilnya mereka bertugas, dididik dan
diasuhnya di Bank Negara sehingga mereka menjadi pegawai yang cekap, amanah,
serius, tulus dan berwibawa sepertinya dan Tun Razak. Mereka di Bank Negara
seperti Tan Sri Aziz Taha yang menggantikan Ismail sebagai gabenor dan Raja
Lope (bekas penasihat Bank Negara) dan ramai lagi. Yang tidak berkhidmat
dengannya dia berkawan dan menaungi mereka. Legasi Ismail yang terbesar ialah
komitmennya terhadap keutuhan dan keluhuran undang-undang, kepada integriti,
ilmu pengetahuan, kejujuran dan keadilan. Tidak senang bagi sesiapa pun mendekatinya
apa lagi mendapat kepercayaannya tetapi apabila Ismail menerima seseorang itu
lazimnya persahabatan itu kekal sehingga nyawa bercerai badan.
Ramai orang tidak tahu bahawa
Ismail, sungguhpun zaman British seorang pegawai tinggi dalam Malayan Civil Service
(MCS) yang elit itu di mana hanya wujud sebilangan kecil pegawai Melayu (95
peratus terdiri dari kulit putih) dia seperti Tun Razak (waktu itu Datuk),
bergerak cergas dalam UMNO. Sungguhpun Ismail (tidak seperti Razak juga pegawai
MCS) bergerak secara senyap-senyap (latent).
Umpamanya, Ismail pernah
menganggotai Majlis Tertinggi UMNO sebagai ahli yang dilantik dan aktif dalam
Jawatankuasa Ekonomi. Allahyarham waktu masih belajar di England lagi telah
menulis surat dalam akhbar Times membantah penubuhan Malayan Union kerana
gagasan jahat British itu mencabuli kedaulatan raja-raja Melayu dan bangsa
Melayu. Tidak ramai yang berani berbuat demikian kerana perbuatannya itu boleh
menjejaskan kerjaya mereka. Sebaliknya keberanian, keikhlasan dan keteguhan Ismail
membela pendapatnya dan kedaulatan dan maruah bangsanya telah mendapat
perhatian pemerintah penjajah Inggeris. Orang British memuja keberanian seperti
mereka sangat menjunjung kesukanan (sportsmanship) dan keilmuan (scholarship).
Keadaan bangsa dan negara terus
mengalami perubahan. Tumpuan terhadap sosio-ekonomi - iktisad, pendidikan dan
pembangunan luar bandar, industri dan perdagangan sehinggalah membawa kepada
Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah melahirkan ramai korporat Melayu dan
bumiputera dan masyarakat perniagaan dan perdagangan bumiputera, kelas menengah
Melayu, PNB dan penswastaan dan multimedia serta lain-lain dan semua ini tidak
terpisah dari usaha, tenaga dan fikiran Ismail. Penulis amat maklum sumbangan
Ismail secara senyap-senyap kerana penulis juga berperanan demikian antara
1962-74 sebagai pegawai - politikus yang tidak dipilih. Ramai pegawai kerajaan
dan parti yang berperanan seperti Ismail dulu dan kini pun.
Ismail telah banyak mengumpul
modal bagi bangsanya - modal minda, pendidikan dan kemajuan - tiada berbeza
dengan tokoh-tokoh yang menghabiskan banyak masa dan minda mereka tentang
permasalahan bangsa, kebudayaan dan bahasa Melayu. Masalah kemajuan ekonomi dan
bahasa Melayu tidak akan selesai dan akan terus diperjuangkan oleh ramai lagi
selepas Ismail sehinggalah ekonomi dan bahasa Melayu benar-benar tegak dan
teguh.
Sehingga akhir hayatnya, Ismail
diam-diam menyuara dan memperjuangkan kepentingan bumiputera dan ke arah
memartabatkan bangsanya dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan swasta.
Sungguhpun dia hampir 80 tahun, Ismail awal Jun apabila penulis berjumpanya di
Jabatan Perdana Menteri dia baru sahaja habis menghadiri majlis mesyuarat
pemegang Amanah Permodalan Bumiputera. Ismail jelas tidak sihat, dia bertongkat
dan dipimpin oleh seorang pembantu tetapi tutur kata dan mindanya tetap segar
dan terang. Kami telah berbual singkat dan telah berjanji untuk bertemu sebelum
penulis pulang ke New York tetapi tidak berkesempatan kebetulan minggu itu
Ismail sibuk dengan pernikahan anak saudara perempuannya dan penulis terpaksa
pulang ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Boleh dikata kami rapat
terutamanya zaman Tun Razak kerana penulis digalak oleh Razak mendampinginya
kerana ''sebab-sebab tertentu'' dan tidak sia-sia persahabatan penulis
dengannya. Darinya penulis mendapat banyak perangsang dan idea. Ismail seorang
pendiam, tidak banyak cakap, dari penglihatan dia seorang yang serius bahkan
kata musuh-musuhnya ''pungah atau garang (harsh)''. Memang dia tidak sabar
dengan mereka yang ''slow'' - yang lembap dan cuai seperti kata Inggeris - he
does not suffer fools easily. Tetapi dengan orang yang disukai dan diterimanya
Ismail seorang yang peramah, prihatin, amat menghormati orang lain, amat
bersopan santun dan beradab.
Ismail senantiasa menghormati
dan berbudi bahasa dengan penulis sepanjang masa, bahkan lagi dia menghormati
penulis dan pintu pejabatnya senantiasa terbuka setelah penulis bebas tahanan
ISA, waktu penulis bergiat dalam dunia korporat sungguhpun penulis tidak
berpengaruh lagi. Banyak apa yang terpendam dalam hatinya dicurahkan kepada
penulis - tentang dasar kerajaan dan tentang personaliti-personaliti dalam
perkhidmatan awam, politik dan korporat.
Ismail adalah antara segolongan
pemimpin Melayu sungguhpun berjasa besar tetapi tidak menjadi 'buah mulut' dan
topik perbualan dan dikenal umum tetapi itu tidak pula seharus menjadinya tidak
dihargai dan disanjung kerana jasa, bakti dan sumbangannya kepada bangsa amat
banyak. Susahnya kadang-kadang rakyat bahkan ''cendekiawan'' pun senang
terpukau dengan pukulan gendang publisiti. Memang tin kosong berbunyi kuat dari
tin yang berisi.
Jasa Ismail tidak boleh
dipertikaikan apabila penyelidikan dibuat kelak. Tun Haji Ismail Ali (ramai
orang tidak tahu dia menunaikan fardu haji tahun 1971 bersama dengan
Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. Tengku Razaleigh Hamzah dan penulis)
telah meninggalkan kita pergi ke dunia baqa tetapi dia wajar dikenang buat
selama-lamanya sebagai salah seorang patriot yang terbilang. Semoga Allah s.w.t.
mencucuri rohnya dan diletak di tempat yang kamil.
Billionaires (jutawan) mati
meninggalkan harta (atau hutang), orang alim dan cendekiawan meninggalkan
ilmunya (kalau ilmu itu dibukukan) manakala orang yang berjasa meninggalkan
nama yang bersih dan baik.
Kayu mati berpunggur, manusia
mati bernama. Itulah Tun Haji Ismail Ali.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4K9C7dWjh
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment