Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
SAFUWAN menjaringkan satu gol ketika membantu PDRM menewaskan Kelantan 2-1 pada aksi suku akhir pertama di Kota Bharu pada 28 Ogos lalu.
SKUAD Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih ada 90 minit lagi untuk mengesahkan tempat mereka ke pusingan separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.
Pada aksi suku akhir pertama di Kota Bharu, 28 Ogos lepas, PDRM mengejutkan Kelantan dengan kemenangan 2-1 dan jika mereka berjaya mengekalkan kedudukan tersebut pada perlawanan suku akhir kedua malam ini, skuad kendalian Mohd. Fauzi Pilus itu bakal mencatat sejarah mara ke separuh akhir kejohanan berprestij itu.
Menjelang aksi suku akhir kedua malam ini, skuad Sang Saka Biru sudah pasti mahu mempertahankan kelebihan mereka meskipun percaya skuad kendalian Velizar Popov itu mempamerkan corak permainan menyerang seawal minit pertama.
Menurut Fauzi, dia menuntut konsentrasi penuh daripada barisan pemainnya kerana menjangkakan pasukan pelawat akan memberi tekanan dalam misi untuk mengubah kelebihan agregat.
Sebagai rekod, pada aksi pertama lalu, PDRM berjaya meraih kemenangan berharga menerusi jaringan dua pemain import sensasi, Safuwan Baharudin dan Guilherme de Paula manakala Indra Putra Mahayuddin menghadiahkan gol sagu hati buat pasukan tuan rumah.
Pada perlawanan itu juga, PDRM telah mengharungi permainan dengan 9 pemain setelah K. Reuben dan de Paula dilayangkan kad merah, sekali gus terlepas peluang untuk beraksi pada aksi suku akhir kedua malam ini.
“Saya tidak mahu barisan pemain PDRM leka. Meskipun kami memenangi perlawanan di Kota Bharu, ia bukanlah satu jaminan dan saya berharap khususnya di bahagian pertahanan supaya tidak mengambil mudah dengan asakan pasukan Kelantan.
“Peluang sudah ada di depan mata (untuk layak ke peringkat separuh akhir) kerana kami mempunyai kelebihan satu gol. Bagaimanapun, para pemain tahu tanggungjawab masing-masing kerana misi mereka masih belum selesai dan kami perlu kekalkan kelebihan tersebut sebelum melangkah ke peringkat seterusnya,” kata Fauzi ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Fauzi turut membayangkan sudah mempunyai pemain pengganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh K. Reuben dan de Paula.
“Saya terpaksa merombak strategi pasukan pada perlawanan esok (hari ini) dengan membawa masuk pemain simpanan untuk mengisi kekosongan mereka. Saya yakin pemain yang dibawa masuk nanti mampu menggalas tugas tersebut dengan baik,” jelasnya lagi.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4KVhIENcW Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment