.Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malang terus menimpa skuad Harimau Malaysia apabila pengendali Datuk Ong Kim Swee terpaksa melupakan khidmat tonggak tengah Brendan Gan yang disahkan mengalami kecederaan lutut yang serius.
Ia tamparan hebat buat skuad kebangsaan yang sebelum ini sudah kehilangan dua pemain tengah berpengalaman iaitu kapten Safiq Rahim dan Amirulhadi Zainal yang mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa Jun lalu.
“Brendan salah seorang pemain penting dalam pasukan, bila ini berlaku sudah pasti kami kekurangan seorang lagi pemain.
“Kami hilang seorang pemain tengah yang bukan saja mampu bertahan malah boleh mengatur gerakan menyerang. Tapi masalah ini tak boleh dielakkan dan yang penting saya dapat mencari pengganti sebelum Piala AFF,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Kecederaan lutut yang dialami Brendan adalah yang kedua dalam tempoh kurang dua tahun dan kali ini pemain kacukan Malaysia-Australia itu dijangka terpaksa berehat selama 10 bulan.
Brendan mengalami kecederaan terbaharu itu ketika beraksi bersama Harimau Malaysia menentang Indonesia di Solo pada 6 September lalu yang menyaksikan anak buah Kim Swee tewas 0-3.
Pemain Kelantan itu memainkan watak penting apabila mengambil alih tugas Safiq yang mengalami kecederaan ketika Malaysia mengatasi Timor Leste dalam dua aksi kelayakan Play Off Piala Asia 2019 di Larkin, Jun lalu.
Tanpa Brendan, Kim Swee mungkin akan memanggil semula pemain Perak, Nasir Basharuddin dan mengharapkan pemain Johor Darul Ta’zim, Junior Eldstal kembali beraksi selepas bebas daripada kecederaan.
“Saya masih memiliki pilihan seperti Baddrol Bakhtiar, Irfan Fazail, Latif Suhaimi, S Veenod dan mungkin akan memanggil semua Nasir dan Junior,” katanya.
Kim Swee akan memanggil pemain bagi latihan pusat selepas 25 September ini bagi persiapan menghadapi Singapura.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 10:13 AM
No comments:
Post a Comment