Ad

Friday, 16 September 2016

3 faktor perkuat PDRM

Rodly Fadly-sukan@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM), Guilherme de Paula (gambar, kiri) berharap rakan sepasukan membalas pengorbanan dilakukannya dengan memastikan pasukan itu layak ke separuh akhir Piala Malaysia.

Berdepan Kelantan pada suku akhir kedua di Stadium Hang Jebat, Melaka, Sabtu ini dengan berbekal kemenangan 2-1, PDRM akan turun tanpa kelibat Guilherme dan K Reuben akibat menerima kad merah pada aksi pertama di Kota Bharu, 28 Ogos lalu.

Guilherme menerima hukuman itu selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-89 kerana melambat-lambatkan permainan. Walaupun kecewa, namun dia menganggap itulah harga yang perlu dibayar demi memastikan kemenangan PDRM.

“Ketika itu kami sedang mendahului 2-1 dengan permainan berbaki lima minit termasuk masa kecederaan. Kelantan pula begitu rancak menyerang untuk mencari gol penyamaan.

“Oleh itu kami perlu melakukan apa saja untuk mempertahankan kelebihan itu apatah lagi bermain dengan 10 orang selepas Reuben dibuang padang pada awal babak kedua. Sudah pasti salah satu taktik adalah melambat-lambatkan permainan.

“Saya sedar ketika itu sudah memiliki satu kad kuning dan berisiko untuk mendapat kad kuning kedua jika saya tersalah percaturan. Apa yang saya bimbangkan akhirnya menjadi kenyataan apabila diarah keluar padang pada minit akhir perlawanan.

“Namun, saya tidak kesal kerana inilah pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi pasukan. Saya harap rakan sepasukan menghargai dan membalas pengorbanan saya ini dengan layak ke separuh akhir,” katanya.

Guilherme yakin dengan bekalan kemenangan 2-1, kelebihan jaringan di tempat lawan serta bermain di gelanggang sendiri, PDRM berada di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

“Kemenangan 2-1 di Kota Bharu pada suku akhir pertama amat berharga kerana selain menang, kami membawa pulang bekalan gol dari tempat lawan. Apatah lagi kali ini kami akan bermain di gelanggang sendiri.

“Tiga faktor ini sudah cukup untuk meyakinkan saya PDRM mampu mara ke separuh akhir walaupun bermain tanpa saya dan Reuben. Ini kerana kami tidak bergantung kepada seorang pemain saja sebaliknya memiliki ramai pemain yang berkemampuan mengisi kekosongan pada bila-bila masa.

“Malah, saya yakin jurulatih (Fauzi Pilus) sudah mempunyai perancangan terperinci untuk menghadapi perlawanan ini terutama dalam mengekang asakan Kelantan yang juga pasti akan bermain bermati-matian untuk mencapai kemenangan,” ujar Guilherme.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 9:48 AM

No comments:

Post a Comment