Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my
Jasin: Lokasi di pinggir hutan
menempatkan lebih 100 kubur lama dan artifak bersejarah berhampiran Kampung
Chohong, di sini, awal tahun lalu, dipercayai mempunyai ‘penjaga’ dan dianggap
sebagai kawasan keras oleh penduduk tempatan.
Penduduk ditemui percaya
kawasan itu mempunyai penjaga dan keras, malah ada antara mereka pernah
mengalami pengalaman pelik ketika berada di kawasan perkuburan itu.
Mereka percaya kubur serta
artifak lama yang terdapat di situ adalah milik orang kenamaan serta pengasas
kampung berkenaan.
Penjaga kubur itu Razain Abd
Rashid, 35, mendakwa dia mengalami pelbagai pengalaman pelik sejak ditugaskan
membersihkan kawasan kubur berkenaan yang mula mendapat perhatian pelbagai
pihak awal tahun lalu.
Dakwanya dia pernah bermimpi
didatangi seorang lelaki berpakaian serba kuning seperti raja, memintanya
memasang kain kuning pada batu nisan berstuktur lebih tinggi atau penduduk
bakal ditimpa musibah.
“Sebenarnya penduduk sudah lama
mengadakan gotong-royong, tetapi tidak sebersih sekarang, hanya baru-baru ini
saya diminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya
membuat jalan masuk seterusnya bersihkan kawasan itu secara lebih menyeluruh.
“Selepas dua minggu
membersihkan kawasan ini secara sendirian, saya mengalami mimpi itu, pada
mulanya tidak berani memasang kain kuning kerana bimbang dimarahi penduduk
kampung berikutan perbuatan itu kelihatan seperti syirik dan bertentangan
dengan ajaran Islam.
“Namun, selepas berfikir secara
mendalam selama seminggu saya memasang kain berkenaan seperti permintaan lelaki
yang dalam mimpi,” katanya ketika ditemui.
Razain berkata, dia mengambil
keputusan itu atas dasar mahu menghormati si mati dan tidak berunsur syirik,
malah dia juga tidak lagi mendengar cerita mengenai penduduk mengalami gangguan
pelik selepas itu.
Menurutnya, dia juga kerap
mendapat petanda menerusi mimpi jika ada pihak tidak bertanggungjawab yang mahu
melakukan perkara tidak baik di kawasan tanah perkuburan lama itu.
“Setiap kali kalau ada orang
datang dengan niat tidak baik, saya akan mendapat mimpi terlebih dulu, namun
saya tidak akan berbuat apa-apa sehingga mereka melakukan sesuatu melampaui
batas seperti aktiviti pemujaan.
“Sepanjang melakukan tugas
pembersihan saya kerap menghidu bau wangi seperti mereka mengalu-alukan
kedatangan saya,” katanya yang tinggal bersebelahan kubur lama terbabit.
Isteri Razain, Haniza Abd
Karim, 33, berkata, dia turut mengalami mimpi pelik sebulan lalu iaitu berjumpa
seorang lelaki berjubah putih, memakai serban serta memegang tasbih memandang
ke arahnya.
“Muka lelaki itu amat bersih
namun dia tidak berkata atau memesan apa-apa kepada saya. Namun berdasarkan
reaksi wajahnya ketika itu yang sedang berdiri di tepi kubur dia seperti mahu
memberitahu sesuatu.
“Saya yakin dia hanya mahu
memperkenalkan diri sebagai pemilik kubur itu. Sebelum ini juga, saya pernah
bermimpi enam orang berpakaian lengkap seperti hulubalang Melayu mengiring
sesuatu berhampiran kubur yang batu nisannya diikat dengan kain kuning,” katanya.
Wanita itu berkata, mimpi
dialaminya meyakinkan dirinya bahawa kubur lama dijaga suaminya mempunyai
kaitan dengan raja Melayu kerajaan lama, selain dia pernah mendengar cerita
penduduk mengenai tapak istana lama terletak berhampiran.
Mimpi pelik itu bukan hanya
dialami pasangan terbabit sebaliknya ramai lagi penduduk kampung yang tinggal
berhampiran kawasan itu.
Penduduk Hisham Md Jani, 47,
berkata, arwah bapanya pernah memberitahu bahawa kubur lama itu adalah tempat
persemadian individu tersohor juga pengasas kampung berkenaan.
Menurutnya, sekitar tahun
1970-an, kawasan itu aktif dengan aktiviti pemujaan oleh segelintir penduduk
kampung dan mereka datang dari tempat lain untuk memohon ‘hajat’ masing-masing.
Sementara itu, Pengurus Besar
Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) Mohd Nasruddin Rahman berkata, kajian
berkenaan kubur lama itu sudah berjalan dan buat permulaan pihaknya mendapatkan
maklumat menerusi sumber sekunder.
“Proses itu membabitkan kajian
terhadap catatan sejarah Jasin, buku-buku, manuskrip dan juga sumber lisan yang
lain,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 20 September 2016 @ 7:05 AM
No comments:
Post a Comment