Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Kejayaan merangkul
Piala Liga Super tiga musim berturut-turut sudah dikecapi dan kini Johor Darul
Ta’zim (Johor DT) akan meneruskan perjuangan pada separuh akhir Piala AFC di
Stadium Larkin, Rabu ini.
Bengaluru pernah ditewaskan
pada aksi peringkat kumpulan namun kedua-dua pasukan itu sekali lagi bertemu
pada separuh akhir yang menjadi penentu sama ada Harimau Selatan mampu mara ke
final untuk mempertahankan kejuaraan Piala AFC.
Bagi pengendali Johor DT, Mario
Gomez menganggap cabaran getir menanti skuad bimbingannya walaupun pernah
menundukkan kelab India itu 1-0 ketika aksi di Bangalore sebelum menang 3-0 di
Larkin.
“Itu cerita lama dan kami tidak
boleh terlalu mengharapkan rekod pencapaian lalu memandangkan Bengaluru sudah
berwajah baharu dengan dibarisi pemain import dan jurulatih baharu dari
Sepanyol dan mereka pasti memberi cabaran terhadap Johor DT.
“Ketika mereka beraksi pada
suku akhir menentang Tampines Rovers di Singapura baru-baru ini, saya
menyaksikan sendiri corak permainan Bengaluru dan apa yang saya boleh rumuskan
corak permainan pasukan itu agak berbeza berbanding ketika saingan peringkat
kumpulan.
“Apa pun persediaan rapi akan
dibuat untuk berdepan pasukan itu malah kami amat bangga selepas layak ke
separuh akhir kali kedua-dua berturut-turut dan meletak sasaran untuk layak ke
final bagi mempertahankan kejuaraan Piala AFC yang dimenangi musim lalu,” katanya.
Mengulas lebih lanjut mengenai
kejayaan merangkul kejuaraan liga tiga musim berturut-turut, pengendali dari
Argentina itu menyifatkan ia pencapaian terbaik sepanjang karier selaku
jurulatih tatkala menamatkan aksi liga di laman sendiri dengan rekod bersih
tanpa kalah.
Beliau berkata, kekuatan mental
setiap pemain yang berjaya mengharungi jadual saingan liga yang padat memainkan
peranan untuk Johor DT melakar sejarah kerana bukan senang untuk mengimbangi
kekuatan fikizal dan mental untuk bersaing dalam kempen liga tempatan dan
peringkat Asia.
“Jika kami kuat hanya pada
fizikal tapi tidak ada kekuatan mental, kami tidak akan capai apa yang kami
raih sekarang. Oleh itu ia perlu seimbang dan pemain sedar kedua-dua kekuatan
itu amat penting dan mereka berjaya membuktikannya.
“Tidak dinafikan, kejuaraan
liga memberi impak positif kepada pemain yang mahu meneruskan rentak kemenangan
dan kami akan cuba sedaya upaya memberi persembahan terbaik pada aksi separuh
akhir Piala AFC dan juga baki satu lagi aksi liga bulan depan,” kata Gomez.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Isnin, 26 September 2016 @ 8:21 AM
No comments:
Post a Comment