ARKIB : 31/08/1998
YANG Dipertua Persatuan Suluh
Budiman, Tan Sri Awang Had Salleh berkata semua pihak perlu menerima keputusan
kerajaan menutup Institusi Perguruan Sultan Idris (IPSI) dengan ikhlas dan
positif.
Menurutnya, kita perlu bersikap
matang dan sentiasa memandang ke hadapan dalam menangani apa sahaja perkara
berhubung penutupan institusi berkenaan.
''Memang sukar menerima
perubahan terutama apabila ia melibatkan nilai sentimental pada sesetengah
orang.
Namun perubahan tidak dapat
dielakkan kerana jikapun IPSI terus kekal, adakah ada jaminan perubahan tidak
akan berlaku pada institusi berkenaan,'' katanya kepada Utusan.
Isu penutupan IPSI hangat
dibicarakan apabila penutupan itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk
pensyarah dan pelajar institusi itu.
Selain IPSI, tujuh maktab lain
akan ditutup pada akhir tahun ini dan pertengahan tahun depan. Penutupan enam
maktab pada akhir tahun ini sudahpun diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan,
Datuk Khalid Yunus baru-baru ini.
Awang Had berkata fungsi dan
budaya asal IPSI masih ada walaupun institusi itu ditutup dan ia akan
diteruskan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
''Dahulu institusi itu
berperanan sebagai tempat pertumbuhan bibit kebangsaan. Hari ini, ia boleh
menjadi Pusat Perkembangan Bibit Nasionalis Malaysia.
''Perubahan peranan tidak dapat
dielakkan kerana kita kini sedang berusaha mendidik anak bangsa melahirkan
bangsa Malaysia,'' katanya.
Beliau memberi contoh, dahulu
iaitu pada tahun 1922, peranan SITC ialah melatih guru Melayu untuk mengajar di
sekolah kampung. Kelulusan setakat darjah lima atau enam sudah memadai untuk
memasuki SITC.
''Kemudian, Sijil Tinggi
Persekolahan (HSC) diperlukan untuk layak masuk ke sana. Tidakkah itu satu
perubahan?. Mengekalkan IPSI dengan peranan begitu bermakna kita menoleh ke
belakang,'' katanya.
Beliau meminta pihak yang
membantah penutupan itu menerima hakikat bahawa perubahan perlu dilakukan dan
ia tidak dapat dielakkan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4KHwtw31R
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment