Ad

Monday, 26 September 2016

Chong Wei juara kali keenam

NOR AZAN FITRI wAHMAD HIDZIR  |  26 September 2016 12:09 AM

Lee CHONG WEI bergurau dengan Jan O Jorgensen ketika majlis penyampaian
LEE CHONG WEI bergurau dengan Jan O Jorgensen ketika majlis penyampaian hadiah Terbuka Jepun di Tokyo semalam. Chong Wei menang 21-18, 15-21, 21-16 dalam masa lebih sejam. AFP

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei melebarkan rekodnya selaku juara terbanyak Siri Super Terbuka Jepun namun terpaksa bekerja keras sebelum merangkul kejuaraan keenamnya di Tokyo hari ini.

Terbuka Jepun jelas begitu bermakna kepada Chong Wei, yang memenanginya kali pertama pada 2007. Dia mengulanginya pada 2010 sebelum menang tiga kali berturut-turut pada 2012 hingga 2014.

Bagaimanapun, kemenangan terbaru pemain No.1 dunia itu diperoleh dengan kerja keras apabila berhempas pulas selama lebih sejam sebelum menundukkan pilihan kelima dari Denmark, Jan O Jorgensen 21-18, 15-21, 21-16 dalam aksi yang cukup sengit.

Kejayaan ketiga berturut-turut tahun ini ke atas Jorgensen itu merupakan kemenangan ke-17 Chong Wei daripada 18 pertemuan dengan bintang Denmark itu dan hanya tewas pada 2009.

Bintang Denmark itu hampir menamatkan kemarau kejuaraan selama tujuh tahun ke atas bintang No.1 dunia berusia 34 tahun itu tetapi gagal melaksanakannya di set penentuan meskipun berjaya mengekori rapat 16-17.

Beberapa siri kesilapan yang dilakukan Jorgensen membolehkan Chong Wei meneruskan kecemerlangannya di Jepun sekali gus merangkul kejuaraan Siri Super yang ke-44 daripada 65 kejuaraan yang diraihnya secara keseluruhan.

Jurulatih perseorangan negara Hendrawan jelas gembira dengan kejayaan itu sambil menyifatkan semua perancangan yang diatur berjalan dengan baik.

Katanya, dia sudah menjangkakan tentangan sengit daripada Jorgensen terutama melibatkan permainan di jaring yang membuatkan Chong Wei terpaksa mengubah strategi permainan dengan menghantar bola ke belakang gelanggang.

“Persaingan sengit se­perti ini sudah saya jangka kerana kali terakhir mereka bertemu di Indonesia (Siri Super Premier) sebelum ini juga sama, mereka beraksi hingga set penentuan.

“Hari ini Jorgensen bermain sangat bagus terutama di jaring tetapi tidak menjadi masalah kepada Chong Wei untuk mengubah corak serangan bagi meraih kejuaraan,” katanya.

Kejayaan di Siri Super Jepun itu merupakan kejuaraan pertama Chong Wei selepas menamatkan saingan dalam Sukan Olimpik Rio di mana dia mengutip pingat perak ketiga berturut-turut
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/badminton/chong-wei-juara-kali-keenam-1.387158#sthash.ZdVhm9nI.dpuf

No comments:

Post a Comment