Rodly Fadly
sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang import
Kedah Thiago Augusto Fernandes sudah bersedia merobek gawang Polis Diraja
Malaysia (PDRM) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir pertama
Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, esok.
Empat jaringan dalam dua
perlawanan terakhir Kedah, baru-baru ini, menambahkan keyakinan pemain
berkenaan dia sudah kembali menemui sentuhan gol dengan PDRM menjadi sasaran
seterusnya.
“Dua gol ketika mengalahkan
Negeri Sembilan 5-0 pada suku akhir kedua Piala Malaysia dan dua lagi ke atas
Terengganu dalam Liga Super hujung minggu lalu memberi saya keyakinan serta
semangat baru.
“Saya gembira menemui semula
sentuhan gol selepas agak sukar melakukannya pada awal penampilan bersama Kedah
dulu. Ketika itu, saya baru pulih daripada kecederaan dan memerlukan masa untuk
kembali cergas selepas berehat enam bulan.
“Pada masa sama, saya masih
dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan Kedah terutama gandingan
bersama rakan penyerang, Shane Edward Smeltz.
“Tapi, sekarang, saya sudah 100
peratus cergas serta semakin serasi dengan rakan sepasukan. Saya dan Shane
sudah saling memahami corak permainan masing-masing sehingga menghasilkan banyak
gol,” kata Thiago.
Setakat ini penyerang dari
Brazil itu sudah menjaringkan lapan gol dalam semua pertandingan dan mahu
menambah jumlah itu dalam perlawanan menentang PDRM. Namun dia akui tugas itu
tidak semudah kata-kata.
“Impian saya adalah membawa
Kedah ke final dan seterusnya menjuarai Piala Malaysia musim ini. Sudah tentu
untuk mencapai sasaran itu, kami mesti terlebih dulu mengetepikan PDRM di
separuh akhir.
“PDRM bukan pasukan yang mudah
ditewaskan. Mereka juga memiliki pemain hebat. Apatah lagi ini perlawanan
separuh akhir dengan setiap pasukan akan memberikan persembahan terbaik,” ujar
Thiago.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 29 September 2016 @ 8:53 AM
No comments:
Post a Comment