Ad

Tuesday, 13 September 2016

KEJAYAAN CEMERLANG TABUNG HAJI

ARKIB : 29/07/1998
KEMAMPUAN Lembaga Urusan Tabung Haji untuk membayar bonus antara 9 hingga 9.5 peratus adalah bukti kukuh kekuatan tabungan lembaga tersebut ketika negara dilanda kegawatan ekonomi.

Ia menggambarkan kesungguhan Tabung Haji melaksanakan iltizamnya memberikan perkhidmatan terbaik dan menguntungkan untuk pendeposit.

Pembayaran bonus yang dianggap tinggi di waktu seperti ini juga merupakan kejayaan menarik dicatatkan oleh lembaga itu sejak penubuhannya pada 1963.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman, petunjuk dalam akaun Tabung Haji meyakinkan lembaga itu mengenai kemampuannya membayar kadar bonus berkenaan.

Perlu diingat, sebagai sebuah institusi simpanan berteraskan nilai-nilai pengurusan Islam, Tabung Haji juga melaksanakan pembayaran zakat ke atas keuntungan yang diperoleh daripada pelaburannya.

Oleh itu, pembayaran bonus yang tinggi, selain pembayaran zakat, menyerlahkan pencapaian dan prestasi cemerlangnya setelah beroperasi sejak 35 tahun lalu.

Daripada matlamat asal penubuhannya sebagai tempat menyimpan wang bagi bakal jemaah haji, Tabung Haji yang diwujudkan atas gagasan idea Profesor Diraja Ungku Aziz, telah melalui banyak perubahan selaras dengan pertambahan tanggungjawab dan tuntutan semasa.

Bilangan pendeposit terus meningkat dari semasa ke semasa. Ini terserlah daripada jumlah jemaah haji yang kian meningkat setiap tahun sehingga ramai yang gagal ke tanah suci kerana melebihi kuota yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Dalam usaha menambahkan aset dan mengukuhkan kedudukan, Tabung Haji melebarkan sayap menceburi pelaburan dalam pelbagai sektor ekonomi, khususnya sektor perladangan.

Ketika ini sektor perladangan kelapa sawit merupakan pelaburan terbesar Tabung Haji dan ladang terbesar milik lembaga itu terletak di Sabah.

Selain itu, ia juga melabur di luar negara dengan membuka ladang 100,000 hektar di Indonesia. Keluasan ini bakal ditingkatkan.

Ternyata langkah Tabung Haji menumpukan pelaburan dalam sektor pertanian bukan sahaja membuahkan pulangan lumayan tetapi membolehkannya terus kukuh mengharungi gelombang kegawatan ekonomi sekarang.

Ini kerana sektor pertanian tidak terjejas teruk akibat kegawatan ekonomi. Sebaliknya dengan kejatuhan nilai ringgit, eksport pertanian menghasilkan pendapatan yang tinggi.

Justeru, kita percaya kejayaan yang dicapai oleh Tabung Haji tidaklah berlaku secara mendadak. Sebaliknya, hasil perancangan yang teliti dan pengurusan yang baik, berdaya maju dan berwawasan.

Ternyata strategi pengurusan yang dilaksanakan selama ini bergerak di atas landasan yang betul.

Kemampuan membayar bonus yang tinggi adalah hadiah kepada pendeposit yang selama ini setia menyimpan dalam Tabung Haji.

Pencapaian Tabung Haji ini sewajarnya menjadi pendorong kepada orang ramai yang masih belum membuka akaun untuk segera berbuat demikian.

Simpanan ini, selain untuk persediaan ke tanah suci, adalah pelaburan yang boleh membantu meningkatkan taraf sosioekonomi kita.

Sewajarnya, kita mengucap syabas kepada Tabung Haji kerana mampu mencipta sebuah lagi cerita kejayaan sebuah institusi dana dalam negeri yang mempunyai pengurusan yang mantap, cemerlang dan berdaya maju.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4KBc16znI © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment