ARKIB : 08/09/1998
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Gabenor
Bank Negara yang baru dilantik, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, hari ini
berikrar untuk memastikan dasar kewangan negara akan menjadi lebih proaktif dan
memberi manfaat kepada sektor perniagaan untuk menggalakkan ekonomi.
Dalam wawancara dengan Bernama
sejurus selepas perlantikannya bagi menerajui jawatan tertinggi bank pusat itu,
Ali Abul berkata tumpuannya adalah untuk meningkatkan prestasi ekonomi yang
terseret dalam kemelesetan pada suku kedua tahun ini.
''Oleh itu, dasar kewangan
perlu memainkan peranan penting untuk memastikan pemulihan ekonomi,'' katanya.
Pendekatannya itu dijangka
memberikan isyarat bahawa bank pusat akan terus menumpukan untuk melonggarkan
dasar kewangan selepas dasar kewangan ketat sejak setahun lalu gagal memulihkan
ekonomi.
Dasar kewangan ketat itu,
terutamanya berkaitan kadar faedah ketat menyaksikan Malaysia mencatatkan
pertumbuhan negatif 6.8 peratus dalam suku tahunan kedua.
Ini memberi isyarat bahawa
dasar yang tegas amat diperlukan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan
bukannya membantutkannya.
Kementerian Kewangan dalam satu
kenyataan hari ini menamakan Ali Abul, Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi
di Jabatan Perdana Menteri, sebagai gabenor baru Bank Negara. Beliau
menggantikan Tan Sri Ahmad Mohd. Don yang meletakkan jawatan pada 31 Ogos lalu.
Kementerian itu juga
mengumumkan perlantikan seorang daripada empat penolong gabenor, Datuk Dr Zeti
Akhtar Aziz, sebagai timbalan gabenor baru, menggantikan Datuk Fong Weng Phak
yang juga meletakkan jawatan pada hari yang sama dengan Ahmad.
Ali Abul berkata, beliau telah
menemui semua ketua jabatan Bank Negara hari ini dan memberitahu apa yang
diharapkan olehnya daripada mereka.
Beliau berkata, peranan
utamanya adalah untuk memastikan apa juga dasar yang diperbincangkan oleh
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan dilaksanakan oleh Bank Negara.
''Ia adalah keputusan yang
penting,'' katanya.
Ali berkata beliau akan
memastikan peranan Bank Negara ''akan menjadi lebih proaktif daripada segi
pembangunan ekonomi.''
''Ia mestilah menjadi
mesra-perniagaan,'' katanya.
Menurutnya, dasar kewangan
semata-mata tidak akan memberi banyak kesan dalam pemulihan ekonomi.
''Dasar kewangan mestilah
sealiran dengan dasar pembangunan (lain),'' katanya.
Ali berkata kadar faedah
tinggi, pemotongan dan langkah oleh bank-bank tempatan untuk menghentikan
pemberian pinjaman telah menekan ekonomi.
''Kini, kita mesti lebih
proaktif dan tidak perlu bimbangkan lagi terhadap kadar pertukaran
(memandangkan kepada langkah-langkah pengawalan pertukaran asing baru),''
katanya.
Bank Negara mengumumkan
langkah-langkah pengawalan tukaran asing minggu lalu untuk mempertahankan ringgit
dengan menjadikannya tidak boleh ditukar di luar negara serta menetapkan
ringgit pada paras RM3.8 berbanding dolar Amerika.
Ali berkata Bank Negara kini
perlu menumpukan kepada pemulihan ekonomi terutama dalam menarik lebih banyak
pelaburan dalam negeri dan asing.
Beliau menegaskan
pelaburan-pelaburan itu mestilah berbentuk jangka panjang dan bukannya jangka
pendek.
Beliau berkata Bank Negara akan
menyokong pertumbuhan ekonomi, tetapi menambah ia tidak akan mengikuti gaya
dasar seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Menurut Ali, dengan
langkah-langkah ekonomi yang diumumkan oleh Bank Negara baru-baru ini, ia akan
menggalakkan lebih banyak pelaburan dan membolehkan bank-bank (tempatan)
memberi pinjaman kepada sektor produktif.
Beliau berkata bank-bank juga
telah mula menurunkan kadar faedah mereka.
Gabenor Bank Negara itu juga
berkata beliau merancang untuk menemui pegawai-pegawai bank secepat mungkin
bagi membincangkan beberapa perkara.
Mengenai pengumuman oleh Bank
Negara hari ini bahawa Keperluan Rizab Berkanun (SRR) bank-bank perdagangan,
syarikat kewangan dan bank saudagar akan dikurangkan kepada 4.0 peratus bermula
pada 16 Sept, 1998, daripada 6.0 peratus ketika ini, beliau berharap langkah
itu akan membolehkan bank-bank mula memberi pinjaman.
Menurut kenyataan itu,
langkah-langkah berkenaan bertujuan untuk mengurangkan kos dana kepada
institusi perbankan akan meningkatkan mudahtunai di kalangan institusi
perbankan individu sekaligus mengukuhkan kapasiti pemberian pinjaman institusi
perbankan.
Ia bersama dengan penurunan
kadar campur tangan Bank Negara minggu lalu akan menjadikan kredit lebih murah
kepada sektor swasta di mana dalam proses itu dijangka akan merangsangkan
kegiatan ekonomi.
Ali juga berkata beliau menemui
Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya di sini hari ini.
Dr Mahathir juga adalah Menteri Kewangan Pertama.
Beliau berkata arahan Dr
Mahathir kepadanya adalah ''Pergi ke sana (Bank Negara) dan buat kerja.''
Ali berkata beliau baru sahaja
mengambil alih tugas itu dan memerlukan masa untuk mengenali kakitangan Bank
Negara.- Bernama.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4KJtBkorr
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment