17 September 2016 12:20 AM
Perarakan Jalur Gemilang dan bendera Kelantan oleh anggota keselamatan
Perarakan Jalur Gemilang dan bendera Kelantan oleh anggota keselamatan dalam Majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, semalam. BERNAMA
KUALA LUMPUR 16 Sept. - Beberapa negeri meraikan Hari Malaysia dengan penuh kesepakatan dan harmoni hari ini walaupun sambutannya di peringkat kebangsaan diadakan di Sarawak malam ini.
Pagi tadi, beberapa negeri termasuk Sabah, Kelantan dan Pulau Pinang menganjurkan sambutan di peringkat negeri dengan pelbagai acara sebagai membuktikan komitmen, kesetiaan dan solidariti rakyat kepada negara.
Di SABAH, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, cuti umum Hari Malaysia bagi seluruh negara sejak 2010 merupakan pengiktirafan signifikan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak dalam pembentukan sebuah negara yang bersatu, merdeka dan berdaulat.
“Berdasarkan sejarah, tiada sesiapa pun boleh menafikan bahawa menerusi kemerdekaan dan penubuhan Malaysia, ia telah membawa banyak manfaat besar kepada rakyat dan negeri ini.
“Dalam bidang politik dan pentadbiran, kita dapat membentuk sebuah kerajaan yang kuat dengan didokong oleh mandat rakyat, seterusnya mewujudkan kestabilan politik dan sistem pentadbiran dan perkhidmatan yang cekap kepada rakyat,” katanya pada Sambutan Ulang tahun Hari Malaysia Ke-53 di sini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin.
Musa juga berkata, Sabah berjaya menjana kemakmuran ekonomi memberangsangkan dan kini menjadi peneraju dan penyumbang terbesar kepada industri perladangan kelapa sawit negara, industri minyak dan gas serta industri hiliran dan pemprosesan, sektor pelancongan, perkhidmatan dan perindustrian.
“Semua ini dapat direalisasikan dengan adanya pelbagai insentif kerajaan yang menjadi pemangkin kepada suasana ekonomi yang kondusif, yang berjaya menarik penglibatan sektor swasta dan pelabur asing sebagai satu daripada enjin utama ekonomi negeri,” katanya.
Musa berkata, kesungguhan dan iltizam politik tinggi kerajaan untuk menunaikan mandat dan amanah rakyat telah membolehkan kerajaan merubah landskap fizikal negeri menerusi usaha membangun dan menaik taraf kemudahan asas dan infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik, perumahan, hospital dan jalan raya.
Sempena Hari Malaysia, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat dan negeri dengan cara dan pendekatan tersendiri.
“Kita percaya suara rakyat di Sabah bukan sahaja akan didengar dan diberikan perhatian sewajarnya, bahkan diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan oleh pucuk pimpinan negara khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita yakin dengan adanya hubungan kukuh dan erat antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, rakyat dan negeri akan menikmati lebih banyak pembangunan dan kemajuan pada masa akan datang,” katanya.
Lebih 3,000 hadir untuk sambutan Hari Malaysia itu, yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini.
Perbarisan pada sambutan itu disertai 17 kontinjen, manakala kawalan kehormat terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Kukusan, Tawau diketuai oleh Mejar Mohd. Azizi Osman.
Di KELANTAN, sambutan itu yang diadakan di Stadium Sultan Muhammmad Ke-IV pada pukul 8.30 pagi, disertai 500 hadirin termasuk 1,914 peserta yang mewakili 58 kontinjen daripada agensi keselamatan, kerajaan negeri dan sekolah.
Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan diserikan dengan perbarisan 59 Jalur Gemilang, 59 bendera negeri dan 59 bendera warna-warni melambangkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Di PULAU PINANG, kira-kira 1,000 hadirin memeriahkan sambutan Hari Malaysia yang turut disertai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff di SP Arena, Seberang Jaya.
Acara itu, yang bermula pukul 9 pagi, dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang oleh Laskar Kelas II BAI Muhammad Azril Ezani Mohamad Zu dari Tentera Laut Diraja Malaysia KD Sri Pinang diiringi nyanyian lagu Negaraku.
Terdahulu Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia merupakan tiga tunggak utama dalam pembentukan Malaysia.
“Ketiga-tiga entiti adalah rakan kongsi yang sama rata. Kami di Pulau Pinang amat menghargai sumbangan dan pengorbanan saudara dan saudari kita dari Sabah dan Sarawak,” katanya. – BERNAMA
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sambutan-hari-malaysia-bukti-komitmen-solidariti-rakyat-1.383714#sthash.w79ArUdZ.dpuf
No comments:
Post a Comment