Ad

Tuesday 13 September 2016

BAM, NUSA MAHSURI PERLU UBAH SIKAP

ARKIB : 01/08/1998
KRISIS terbaru antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kelab profesional, Nusa Mahsuri dikatakan sudah selesai.

Penyelesaian bagi krisis berhubung latihan dan pemilihan pasukan kebangsaan ke Sukan Komanwel XVI dicapai selepas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan dan menemui kedua-dua pihak secara berasingan beberapa hari lalu.

Berikutan itu, BAM mengambil keputusan menerima seorang pemain Nusa Mahsuri ke dalam skuad kebangsaan, setelah cuba menutup pintu sejak kontroversi ini tercetus minggu lalu.

Bagi peminat dan pemerhati sukan tanah air, penyelesaian ini tentunya amat melegakan kerana kedua-dua pihak bersetuju mengutamakan kepentingan negara. Ia juga mencerahkan semula harapan negara untuk memperoleh pingat daripada acara badminton di Sukan Komanwel nanti.

Antara punca yang menyebabkan tercetusnya krisis ini ialah soal elaun latihan tertunggak yang dituntut oleh Nusa Mahsuri dari BAM.

Nusa mendakwa BAM berjanji membayar elaun kepada pemainnya yang menyertai latihan serta pertandingan bagi mewakili negara. BAM menafikan yang badan itu pernah membuat sebarang janji seumpama itu.

Percakaran berterusan dengan pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh kedua-dua pihak sehingga BAM menutup pintu, sekali lagi, kepada pemain Nusa Mahsuri.

Namun ia sudah selesai dan kedua-dua pihak berdamai sekali lagi.

Tetapi, apakah 'perdamaian' kali ini akan kekal atau hanya menunggu masa sebelum satu lagi isu timbul dan sekali lagi kita akan menyaksikan badminton tanah air bergolak semula.

Masalah antara BAM dan Nusa sering berlaku sejak kelab profesional itu ditubuhkan empat tahun lalu dengan dikenali sebagai Thomas Cuppers Sdn. Bhd. dan kemudian menukar nama kepada Nusa Mahsuri Sdn. Bhd. dan kini dikenali sebagai Kelab Nusa Mahsuri.

Sejak penubuhannya itu, Nusa Mahsuri dan BAM sering bertelagah dengan kedua-dua pihak melemparkan tuduhan demi tuduhan ke arah satu sama lain.

Pertelagahan ini mengakibatkan Malaysia tewas pada pertandingan Piala Thomas 1996 yang berlangsung di Hong Kong. Bagaimanapun, keadaan pulih sedikit semasa kempen Piala Thomas 1998 dan Malaysia berjaya muncul naib johan.

Secara amnya, kita boleh simpulkan bahawa BAM dan Nusa Mahsuri perlu mengubah sikap dan meletakkan kemajuan badminton sebagai agenda utama. BAM perlu menerima hakikat bahawa Nusa ialah sebuah kelab profesional dan Nusa pula mesti sedar BAM adalah badan induk sukan tersebut.

Peminat badminton tidak berminat dengan kontroversi dan pertelagahan. Mereka mahukan kejayaan serta kemajuan yang membanggakan di semua peringkat.

Malah, sebagai badan induk, BAM perlu menggalakkan penubuhan kelab-kelab profesional kerana ia akan membantu membangunkan mutu sukan berkenaan.

Peminat mahukan skuad badminton menyumbang pingat emas pada Sukan Komanwel yang akan berlangsung September ini.

Bagi tujuan itu, barisan terbaik perlu dipilih, tidak kira pemain itu dari kem atau pasukan mana.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_05.htm#ixzz4KBxNzh79 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment