Ad

Friday 16 September 2016

Irfan gesa pemain fokus suku akhir

 
Kuala Terengganu: “Skuad kami (FELDA United) beraksi dengan baik sepanjang perlawanan dengan memberi tentangan sengit kepada T-Team tapi jaringan ketiga lawan menjadi pemusnah segala-galanya,” kata ketua jurulatih FELDA Irfan Bakti Abu Salim (gambar, kiri) sebaik tamat perlawanan yang berkesudahan pasukannya tewas 2-3.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pemainnya segera melupakan kekalahan itu sebaliknya perlu lebih fokus dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia Sabtu ini bertemu skuad itu dalam misi melayakkan diri ke separuh akhir.

“Saya gesa pemain harus lebih cerdik dan fokus dalam aksi suku akhir nanti selain mahukan semua pemain melupakan episod malang itu tewas kepada barisan pemain T-Team,” kata pengendali kelahiran Kelantan itu yang pernah membimbing skuad Terengganu.

Mengulas lanjut, Irfan berkata, walaupun kekalahan itu tidak menjejaskan sebarang kedudukan dalam saingan liga selepas sah berada di tangga kedua, tetapi kemenangan menjadi impian pasukan sebelum turun beraksi bertemu skuad kendalian Rahmad Darmawan itu.

“Bagaimanapun kesalahan hingga menghasilkan penalti untuk jaringan ketiga tuan rumah tidak sepatutnya berlaku sekali gus memusnahkan harapan kami untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata biarpun tidak menjejaskan kedudukan dalam liga.

“Namun begitu pada aksi malam ini ia banyak memberi pengajaran yang berguna khususnya kepada pemain selain dapat mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan kami dan lawan menjelang pertemuan suku akhir nanti yang sudah pasti memberi kelebihan kepada kami kerana beraksi di laman sendiri,” katanya yang turut memuji pemainnya yang bangkit walaupun dua kali ketinggalan sebelum pulang hampa.

Pada suku akhir pertama 28 Ogos lalu kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi yang penuh kontroversi dan perhitungan Sabtu ini bakal menyaksikan pasukan mana yang berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:12 AM

No comments:

Post a Comment