Ad

Friday 16 September 2016

Masjid Kampung Laut diiktiraf tertua di Asia Tenggara

16 September 2016 12:15 AM
Masjid Kampung Laut diiktiraf sebagai masjid tertua di Asia Tenggara
Masjid Kampung Laut diiktiraf sebagai masjid tertua di Asia Tenggara terletak di Pusat Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan.
KOTA BHARU 15 Sept. – Masjid Kampung Laut yang terletak di Pusat Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) Nilam Puri, dekat sini diiktiraf oleh Jabatan Arkib Negara sebagai masjid tertua di Asia Tenggara.
Menurut portal jabatan itu, Masjid Kampung Laut dibina sekitar kurun ke-18 tanpa menggunakan paku dan struktur binaannya mempunyai persamaan dengan Masjid Demak di Jawa Timur; Masjid Kono di Champa serta Masjid Nad Tanjung dan Masjid Wadi Hussien di Thailand.
Masjid itu pada asalnya dibina di Kampung Laut, Tumpat sebelum dipindahkan ke kawasan kampus Pusat Pengajian Islam UM.
Seorang penuntut di Pusat Pengajian Islam UM, Idris Salleh, 23, berkata, kajian mengenai pembinaan masjid itu perlu dibuat secara terperinci kerana terdapat beberapa versi berlainan mengenai asal usulnya.
“Ramai yang berpendapat bahawa masjid ini dibina oleh sekumpulan orang-orang Jawa yang terkandas di Pantai Kelantan. Kumpulan ini sering berulang-alik antara Jawa dan Champa.
“Sementara itu ada pula mendakwa masjid ini dibina oleh orang tempatan. Jadi, kesahihan sebenar perlu diperoleh untuk dijadikan catatan sejarah yang lengkap,” katanya.
Difahamkan, suatu ketika du­lu, masjid tersebut merupakan pusat komuniti Kampung Laut yang menjadi tempat persinggahan pedagang kerana lokasinya yang terletak di tebing Sungai Kelantan.
Sekarang, masjid itu bukan sekadar monumen sejarah tetapi terus berfungi sebagai pusat ke­gia­tan keagamaan apabila digunakan untuk beribadat oleh para pelajar serta orang awam.
Seorang lagi penuntut, Azhar Ahmad, 26, berkata, keberkatan masjid berkenaan yang dibina dengan keringat dan keikhlasan kumpulan penduduk yang membinanya menjadikan Masjid Kampung Laut cukup istimewa.
“Mengikut sejarah yang saya baca, akibat banjir besar di negeri ini pada Januari 1967, sebahagian tapak masjid di Kampung Laut dikatakan telah jatuh ke dalam sungai. Ekoran itu, masjid asal menjadi senget dan goyah.
“Usaha menyelamatkan wa­risan yang bernilai tinggi ini dilakukan oleh Persatuan Sejarah Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan de­ngan cara memindahkannya ke Nilam Puri sehingga sekarang,” katanya.
Difahamkan, usaha membina semula masjid berkenaan mengikut reka bentuk asalnya dilakukan oleh sekumpulan tukang rumah Melayu diketuai oleh Husin Saleh dari Kampung Bunut Payong, Kota Bharu.
Pembinaan semula dijalankan pada November 1968 dan siap sepenuhnya pada November 1969.
Ketinggian seni bina Masjid Kampung Laut ialah reka bentuk yang unik, tidak menggunakan sebarang paku tetapi mengguna­kan potongan kayu dan buluh sebagai pasak.
Mereka memilih tidak menggunakan paku kerana pada zaman dahulu, paku bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh.


- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/masjid-kampung-laut-diiktiraf-tertua-di-asia-tenggara-1.383156#sthash.ElFE321r.dpuf

No comments:

Post a Comment