TOREK SULONG | 02 September 2016 12:33 AM
Ismail Yaacob (berdiri) bersama jemaah Masjid Mukim Telaga Papan menunjukkan tarikh kolah lama masjid berkenaan di Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.
PASIR PUTEH 1 Sept. - Masjid Mukim Telaga Papan, di sini menyimpan khazanah sejarah yang cukup berharga iaitu kolah atau tempat takungan air untuk mengambil wuduk yang dipercayai berusia 664 tahun.
Usia kolah tersebut yang dikatakan berasal dari Kuala Besut, Terengganu ditentukan berdasarkan tahun ia dibina, iaitu 1352 sebagaimana tertera di dindingnya.
Imam Tua Masjid Mukim Telaga Papan, Ismail Yaacob berkata, kolah konkrit tersebut yang masih kekal digunakan sehingga hari ini merupakan lambang perpaduan masyarakat Islam di sekitar Telaga Papan sejak sekian lama.
“Mengikut cerita, kolah ini dibina secara gotong-royong di Kuala Besut. Binaan ini kemudiannya diusung oleh 60 hingga 70 penduduk pada waktu itu untuk ditempatkan di sebuah surau di Kampung Gajah Mati, kira-kira dua kilometer dari masjid ini.
“Hanya pada tahun 1967, penduduk sekali lagi sepakat mengusung kolah ini ke Masjid Mukim Telaga Papan dan ia kekal di sini sehingga ke hari ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ismail berkata, kolah itu menyerlahkan kehebatan penduduk zaman dahulu yang sanggup memerah keringat untuk mengusungnya sehingga beberapa kilometer walaupun berat.
“Mereka mengusungnya tanpa retak dan pecah. Kolah ini masih kukuh serta tidak menunjukkan tanda ia akan rosak atau retak hingga sekarang. Ziarahlah ke masjid ini untuk melihatnya.
“Sekarang, dindingnya sudah ditampal dengan jubin oleh pihak pengurusan masjid supaya nampak lebih cantik," katanya.
Menurut Ismail, pengurusan masjid mempunyai pilihan membina kolah yang baharu namun mereka mengambil keputusan untuk mengekalkannya supaya generasi akan datang mengetahui sejarah dan semangat perpaduan masyarakat terdahulu.
“Kita mahu anak mukim mengetahui dan mengenang sejarah kolah ini kerana ia mungkin merupakan kolah paling lama yang masih ada dan digunakan di daerah ini.
“Kita juga mahu generasi muda membayangkan betapa bersemangatnya nenek moyang mereka bersatu padu dan sepakat dalam perkara berkaitan agama sehingga sanggup mengusungnya,” katanya.
Tambahnya, kaedah mengusung kolah sama seperti mengusung rumah iaitu dengan meletakkan kayu di bawahnya dan orang ramai memgusungnya secara beramai-ramai.
“Jarak dua kilometer terlalu jauh bagi masyarakat dahulu kerana mereka perlu melalui kawasan hutan dan belukar. Kerja ini bukan sehari dua, tetapi selama berhari-hari malah mungkin berminggu-minggu,” katanya.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/kolah-berusia-664-tahun-1.377372#sthash.ZRTm0DN1.dpuf
No comments:
Post a Comment