ARKIB : 15/07/1998
MODEL terbaru kereta elektrik, Eleksuria yang dikeluarkan oleh POEM selepas dipandu uji oleh Dr. Mahathir di Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 14 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad memandu uji dua kereta elektrik Eleksuria model terbaru keluaran Perusahaan Automobil Elektrik (Malaysia) Sdn. Bhd. (POEM) di Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Model kereta elektrik terbaru itu merupakan pembaharuan dari segi spesifikasi model asal dan warna yang digunakan kepada lebih menarik dan selamat dalam semua keadaan.
Dr. Mahathir menguji pandu dan menilai kelancaran kereta berkenaan di sekitar JPM yang dibawa khas dari kilang POEM di Bangi sebelum digunakan atau dipasarkan.
Eleksuria model terbaru dicat dengan warna jalur gemilang, bendera Malaysia dan dikatakan kereta terbaik pernah dihasilkan oleh POEM sebuah anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan usaha sama Frazee-Nash Research Ltd. (FN) dari United Kingdom.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif TNB, Datuk Dr. Ahmad Tajuddin Ali.
POEM dijangka mampu mengeluarkan lebih 2,000 unit kereta elektrik dalam dua tahun operasinya dengan menggunakan lebih 50 peratus komponen tempatan.
Kereta elektrik jenis buggy dan berkonsepkan mesra alam merupakan satu catatan sejarah negara dalam menuju era kecemerlangan dalam industri automobil.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_02.htm#ixzz4K6X7kxQK © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment