KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB FOTO HAFIS ABD AZIZ (WWW.GAWANG.MY)
10 SEPTEMBER 2016
N.Sembilan ada potensi Kapten Negeri Sembilan, Taylor Regan memikul tanggungjawab besar memastikan pasukannya layak separuh akhir.
SKUAD Hoben Jang Hoben tampak mempunyai potensi mara ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia 2016, walaupun hakikatnya Kedah bukanlah pasukan yang mudah untuk ditundukkan.
Beberapa faktor menjadi sandaran kepada keyakinan ini, antaranya keputusan seri tanpa jaringan yang dicatatkan Negeri Sembilan semasa beraksi di laman sendiri pada suku akhir pertama, 28 Ogos lalu.
Jika diimbas kembali perlawanan itu, Skuad Jang hanya menurunkan seorang pemain import iaitu Taylor Regan bagi menggalas tugas selaku kapten pasukan, manakala selebihnya dibarisi pemain muda.
Walaupun kekurangan dari aspek pengalaman beraksi di pentas besar, anak buah Gary Michael Phillips cukup ampuh bertahan dengan segala asakan dilontarkan kepada mereka.
Petanda positif
INI merupakan satu petanda positif, apatah lagi mengambil kira bahawa mereka berdepan barisan terbaik Lang Merah yang turut mengetengahkan empat pemain import berkaliber.
Kemudian, rekod enam pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan sejak tahun 2012 juga didapati lebih memihak kepada skuad Hoben Jang Hoben.
Negeri Sembilan menang empat daripadanya dengan keputusan 2-1 dalam saingan Liga Super pada 17 Mac 2012, 2-0 (Liga Super - 7 Julai 2012), 1-0 (Liga Perdana - 14 Februari 2014) dan 2-0 (Liga Perdana - 14 Ogos 2015).
Mereka tewas kepada Lang Merah dengan jaringan 1-2 dalam saingan Liga Perdana pada 23 Mei 2014 dan 17 April 2015.
Rekod pertemuan itu sekali gus menggambarkan wujudnya persaingan yang seimbang antara kedua-dua pasukan, di mana peluang untuk Negeri Sembilan ke separuh akhir tetap ada.
Rasanya tidak salah juga kalau dikatakan, Negeri Sembilan mempunyai sedikit kelebihan berbanding Kedah pada suku akhir kedua yang bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, 17 September nanti.
Sudah memadai
Berdasarkan format kiraan gol di tempat lawan, keputusan seri 1-1 sahaja sudah memadai untuk melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.
Berbeza pula dengan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang berdepan lebih tekanan, berikutan mempunyai satu pilihan sahaja untuk mara iaitu melalui kemenangan.
Namun, semua faktor ini langsung tidak berguna seandainya skuad Hoben Jang Hoben gagal memanfaatkannya.
Kebimbangan penyokong sudah pasti tertumpu pada ketumpulan jentera serangan. Letaklah Goran Jerkovic atau Muhammad Afiq Azmi sekalipun, hasilnya tetap tidak memberangsangkan buat masa ini.
Mungkin sudah tiba masanya penyerang muda daripada skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Mohd Rahizi Mohd Rasib diturunkan untuk mencuba nasib dan mencurah keringat kepada pasukan.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 10 SEPTEMBER 2016
No comments:
Post a Comment